Thursday, 3 March 2011

Muamalat dan Kewangan Islam


Islam adalah cara hidup; dan cara hidup yang ditampilkan adalah cara hidup yang lengkap dan sempurna. Kesempurnaan Islam tidak ada tandingannya malah ia mendahului lain-lain agama, kepercayaan, idealisme dan sistem ciptaan manusia.
Inilah yang patut menjadi keyakinan kita selaku muslim -mukmin. Rujukan tatacara kehidupan yang amat luas, rencam dan pelbagai sifatnya disandarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah,sementara segala permasalahan yang tidak disebut secara terang atau diperselisihkan akan ditentukan secara Ijma’ (disepakati secara majoriti) oleh ulama’ yang muktabar dan Qias.

Ulama’ telah memperincikan lima bidang utama dalam menetapkan kaedah hukum iaitu Ibadat, Jinayat (yang juga dikenal sebagai ‘Uqubat), Munakahat dan Mu’amalat. Setiap satu bidang mempunyai fiqhnya yang tersendiri. Mu’amalat adalah merujuk pada segala urusan yang berkaitandengan harta ( mal ). Ia mencakupi segala jenis pertukaran seperti jual-beli dan sewaan, Tabarru’ seperti hibah, waqaf dan wasiat,Pengguguran hak seperti pelepasan hutang, segala jenis persyarikatan, Tauthqat seperti gadaian, jaminan dan hawalah. Demikianlah Islam memperincikan pengurusan harta agar ia menepati kehendak sebenar dan menjamin hak setiap indivudu.

 Kita perlu memahami bahawa kepatuhan terhadap kaedah fiqh inilah yang akan menentukan matlamat akhir tercapai iaitu ‘keredahaan Allah’. Perlaksanaan yang menepati kehendak syariat akan menghasilkan natijah yang benar seperti mengelak penindasan dan penipuan,disamping membentuk jatidiri seperti jujur, amanah, adil, telus, membantu fakir miskin; maka disinilah keindahan Islam dapat dirasai bersama.

 Syariatlah yang memandu kita agar tidak tersasar dari sikap tamak, rakus dan haloba, kerana tidak ada jaminan kita mampu mengawasi nafsu yang memang fitrahnya mencari dan mengejar keuntungan semata-mata. Islam menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba, dari hadis Nabi s.a.w.dalam menghuraikan kedudukan halal dan haram baginda menyebut :

“Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu nyata dan diantara keduanya ada perkara kesamaran barangsiapa yang memelihara dari segala kesamaran, sesungguhnya dia memelihara agama dan kehormatannya” (riyawat Bukhari-Muslim).

No comments:

Post a Comment