Thursday, 3 March 2011

Undang-undang Kontrak Perbandingan (Islam)




1.         MATLAMAT
Dalam Bab ini pelajar didedahkan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan kontrak/ akad dan hubungannya dalam kegiatan transaksi semasa.

2.         OBJEKTIF
Selepas mempelajari bab ini pelajar diharapkan dapat :
(a)       Menerangkan kefahaman asas mengenai konsep falsafah dan prinsip­prinsip kontrak/ akad.
(b)       Menjelaskan kehendak rukun dan syarat-syarat dalam kontrak/ akad.
(c)       Memahami asas teori kontrak/ akad dan kepelbagaian pendapat fuqaha'.
(d)       Menjelaskan pembentukan kontrak/ akad dan keberkesanannya dalam transaksi muamalat.
(e)       Menerangkan pembahagian kontrak/ akad dan perkara yang berkaitan dengannya.

3.         KANDUNGAN

1          Pendahuluan                                                                         
2          Undang-undang kontrak di negara Islam                           
3          Pengertian akad/ kontrak                                                    
4          Pensyariatan kontrak/ akad                                                
5          Hikmah pensyariatan                                                           
6          Skop kontrak/ akad                                                              
7          Pembahagian Akad                                                               
8          Kefahaman asas                                                                   
9.         Asas-asas teori kontrak/ akad                                                         
10        Keberkesanan kontrak/ akad                                             
11        Kesaksian dalam kontrak/ akad                                          
12        Penamatan kontrak/ akad                                                   
13        Kesimpulan                                                                          
14        Contoh-contoh soalan                                                          


1.         PENDAHULUAN

Kontrak/ akad merupakan suatu keperluan yang amat penting dalam kehidupan manusia. Kepentingannya dapat dilihat dalam segenap bidang transaksi dan hubungan. Dengannya akan terjalin ikatan perjanjian di antara seorang dengan lainnya dalam pelbagai urusan muamalat, terutama yang berkaitan dengan transaksi perniagaan dan perdagangan. Sejarah menunjukkan bahawa kejayaan suatu peradaban manusia adalah terbina di atas landasan hubungan atau perjanjian yang kukuh yang boleh menyimpul dan menghurai sesuatu keperluan dengan baik, teratur dan berdisiplin.
Hubungan kontrak/ akad boleh berlaku dengan baik dan berkesan melalui tukaran dan gantian, selain saling bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain. Tukaran dan gantian itu mempunyai pelbagai bentuk dan cara seperti yang terdapat dalam teori kontrak/ akad. Teori inilah yang akan menentukan prinsip-prinsip perhubungan atau ikatan, kebebasan mengurus dan bertindak dalam soal yang berkaitan dengan pertukaran barangan dan manfaat, dilaksanakan secara tertib, baik dan mendapat kepuasan semua pihak. Dalam Islam kesemua kegiatan dan tindakan itu mempunyai hukum-hukam, prinsip-prinsip dan peraturan tersendiri yang memandu setiap orang berada dalam landasan hubungan dan ikatan yang betul dan wajar, serta menguntungkan semua pihak yang terlibat dalam kontrak/ akad, di samping mendapat keredaan Allah.
Ahli perundangan Islam tradisional tidak membincangkan undang- undang kontrak Islam dalam satu teori umum yang mencakupi semua jenis kontrak sebagaimana yang terdapat dalam Undang-undang Kontrak Inggeris. Sebaliknya mereka membincangkannya secara berasingan mengikut jenis-jenis kontrak tertentu. Justeru itu setiap jenis kontrak Islam, misalnya kontrak jual beli, hibah, upah, wasiat. dan lain-lain lagi dibincangkan dengan panjang lebar dan mendalam secara berasingan.
Semua perkara berhubung kontrak Islam sama ada yang telah dan kemungkinan berlaku dibincangkan dengan terperinci dalam buku yang berjilid-jilid banyaknya. lni memudahkan pembaca menyelesaikan sesuatu masalah kontrak Islam secara merujuk terus kepada bab-bab yang berkaitan. Jelas dari semua penulisan bahawa kontrak jual beli dijadikan sebagai suatu yang prototaip yang mana semua jenis kontrak lain mesti dengannya.
Akhir-akhir ini teori kontrak Islam telah mula digubal oleh pakar perundangan Islam yang terdiri daripada ulama moden yang tidak terikat dengan mazhab tertentu. Teori itu digubal dengan cara memetik mana-mana pendapat yang dianggap baik dan sesuai dari kesemua mazhab-mazhab muktabar[1].
Pengumpulan teori kontrak ini diilhamkan berdasarkan keperluan umat Islam sendiri di samping terpengaruh kepada sistem perundangan Barat yang sedikit sebanyak telah mempengaruhi pemikiran pakar perundangan Islam kini. Antara mereka yang merintis usaha ke arah ini adalah Dr. Mohammad Salam Madkur, Dr. Abdul Razak al-Sanhuri Pasha, Dr. Mohamad Yusuf Musa, Mustafa Ahmad Zarqa', Subhi Mahmasani, Badran Abu al-'Aynain Badran, Dr. Hassan Subhi dan lain-lain[2]. Usaha mereka ini Iebih mudah difahami oleh pembaca.
 
2.         UNDANG-UNDANG KONTRAK DI NEGARA ISLAM

Majalah al-Ahkam al-`Adliyyah merupakan undang-undang sivil Islam yang pertama pernah dikodifikasikan dalam bentuk moden dan dikuatkuasakan di seluruh wilayah kerajaan Uthmaniyyah kecuali Mesir dan Syiria. Antara undang-undang kontrak yang tersebut didalamnya ialah jual beli, sewa menyewa, jaminan pemindahan hutang (al-hiwalah), syarikat, perwakilan dan lain-lain lagi. Perturan ini dikuatkuasakan di wilayah-wilayah Kerajaan Uthmaniah sehinggalah selepas perang Dunia Pertama.
Arab Saudi, satu-satunya negara Islam yang sentiasa melaksanakan undang-undang Islam sebagai undang-undang negara (Article 6 of the Saudi Arabia Constitutional Instrument of 1926). Namun demikian Arab Saudi juga tidak terlepas daripada dipengaruhi oleh undang-undang Barat khusus dalam bidang undang-undang tertentu misalnya The Labour and Workman Regulations 1969.
Justeru itu, Arab Saudi   adalah sama dengan negara-negara Islam lain di Timur Tengah dan Asia turut dipengaruhi oleh undang- undang Barat. Cuma bezanya negara-negara tersebut menerima undang-undang Barat sepenuhnya dan pengaruh undang-undang Islam hanya sedikit sahaja. Sebaliknya di arab Saudi undang-undang Islam mendasari undang-undang negaranya sendiri dengan sedikit sahaja dipengaruhi oleh undang-undang Barat.
Walau bagaimanapun baru-baru ini beberapa buah negara Islam seperti Iran, Pakistan dan Sudan telah mengisytiharkan undang-undang Islam sebagai undang-undang negara masing-masing. Adalah terlalu awal untuk dinilai sejauh manakah kesan pelaksanaan tersebut ke atas negara-negara berkenaan.
Malaysia seperti India dipengaruhi oleh British selama beberapa tahun, Justeru itu tidak hairanlah mengapa pengaruh undang-undang Inggeris begitu kuat mempengaruhi undang-undang negara kita sehingga sekarang, walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan lebih lima puluh tahun.
Undang-undang Inggeris mula diperkenalkan di negeri-negeri Melayu melalui undang-undang dan keputusan hakim-hakim Inggeris di mahkamah-mahkamah pada masa itu. Penyerapan undang-undang Inggeris melalui keputusan-keputusan kehakiman adalah lebih awal daripada undang-undang itu sendiri.
Undang-undang yang pertama sekali diluluskan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu[3] dengan cara rasminya ialah Enakmen Undang-undang Sivil 1937 (Civil Law Enactment 1937). Undang-undang ini sebenarnya memberi pengakuan kepada mahkamah terhadap apa yang telah dilakukan sebelumnya[4]
Ordinan Kontrak (Negeri-Negeri Melayu) 1950 (Contracts Malay States) Ordinance 1950) merupakan salah satu cabang daripada undang-undang perdagangan. Undang-undang ini pada mulanya hanya dikuatkuasakan di Negeri-Negeri Melayu sahaja; manakala negeri-negeri lain, mempunyai undang-undang mereka sendiri. Ordinan ini kemudiannya disemak pada tahun 1974 supaya diterima pakai diseluruh Malaysia dan dinamakan sabagai Akta Kontrak 1950 (Disemak 1974).
Di samping Akta Kontrak 1950 itu terdapat banyak lagi undang-undang perdagangan yang telah diluluskan. Antaranya Akta Kebankrapan 1967, Akta Syarikat 1965, Akta Sewa Beli 1967, dan Akta Perkongsian 1961. Akta-akta ini secara tidak langsung mengurangkan pergantungan kita kepada Undang-undang Perdagangan Inggeris.[5]
            Penubuhan Bank Islam pada tahun 1983 mula mengubah pemakaian undang-undang kontrak di Malaysia, malah ia menjadi pemangkin kepada perkembangan dan kemajuan beberapa kontrak Islam, ketika  ini pengguna sudah mula membuat pilihan sama ada akan menggunakan kontrak Islam atau konvensional dalam urusan mereka. Kini bukan bank Islam sahaja yang menjalankan kontrak-kontrak Islam yang berkaitan dengan perbankan malah turut diikuti oleh bank-bank yang lain.



3.         PENGERTIAN AKAD/ KONTRAK

Ulama-ulama tradisional tidak pernah memberi definisi kontrak secara  menyeluruh yang merangkumi semua jenis kontrak seperti yang terdapat dalam Undang-undang Kontrak Inggeris. Perkataan 'aqd yang bermaksud kontrak digunakan kepada semua jenis kontrak yang diharuskan oleh Islam. Ulama-ulama di kebelakangan ini ada menggariskan teori umum kontrak Islam dan juga memberi definisi umum ke atas kontrak Islam itu sendiri.
Akad/ Kontrak dari segi bahasa memberi makna mengikat atau menyimpul di antara dua hujung ikatan dengan ikatan sebenar atau ikatan simbolik, ia juga memberi makna diikat dengan tali atau janji maka ia tersimpul iaitu berlaku ikatan hubungan.
Dari segi istilah fiqh, akad mengandungi dua makna, makna umum dan makna khusus. Makna umum, akad ialah setiap apa yang diazamkan oleh seseorang untuk melakukannya, sama ada akad itu lahir dari kehendak persendirian (sebelah pihak), seperti berwaqaf, atau lahir dari kehendak dua pihak seperti melakukan jual-beli. Makna khusus pula, akad ialah ikatan di antara ijab dan qabul mengikut cara syarak yang sabit kesannya kepada perkara yang diakadkan. Ringkasnya, akad ialah suatu ikatan tawaran dan terimaan secara syarak yang melahirkan kesan kepada perkara yang diakadkan.
Ijab dan qabul adalah perbuatan yang menunjukkan keredaan berkontrak. Perkataan “mengikut cara yang disyariatkan” adalah mengeluarkan segala bentuk ikatan yang tidak disyariatkan seperti persetujuan membunuh orang, merosakkan hasil pertanian, mencuri, dan perbuatan-perbuatan lain seumpamanya oleh itu kontrak yang dihasilkan tidak memberi kesan kepada benda yang dikontrakkan.
Perkataan “sabit kesannya pada barang berkenaan” bertujuan mengeluarkan ikatan antara dua percakapan yang tidak mempunyai kesan seperti setiap rakan kongsi bersetuju menukarkan atau menjual saham masing-masing kepada rakan kongsi mereka sedangkan saham itu adalah sama banyak. Perbuatan tersebut tidak berfaedah.
Dari penjelasan di atas menunjukkan bahawa dalam setiap akad itu ada tiga unsur penting, iaitu; ijab atau tawaran, qabul atau terimaan, dan kesan akad iaitu berlaku serahan dan pindah milik-penjual serah barang kepada pembeli dan pembeli serah wang kepada penjual- menjadikan kedua-dua pihak masing-masing mempunyai milik sempurna ke atas barang dan harga. Berikut diberikan contoh, umpamanya A melakukan akad jual beli tanah seluas dua ekar kepada B dengan harga seratus ribu. Dalam hal ini, tanah (barang yang diakad) mestilah berkesan, iaitu penjual mestilah mempunyai milik penuh ke atas tanah berkenaan, dan mesti ada pindah milik di antara pihak penjual dan pembeli. Dengan berlakunya serahan dan pindah milik ini maka akad jual beli menjadi sempurna dan sah dari segi syarak.
Akad boleh dilakukan melalui perjanjian lisan atau dengan perjanjian bertulis, dan akad juga mengandungi tanggungjawab terhadap sesuatu, sama ada mesti dilakukan apabila sempurna semua rukun dan syarat-syaratnya, atau wajib ditinggalkan apabila berlaku kecacatan sebahagian rukun dan syarat-syaratnya. Akad juga adakalanya dilulus oleh agama, umpamanya, jual beli sesuatu yang diharuskan, seperti rumah, atau yang dilarang agama seperti jual beli yang melibatkan unsur-unsur riba, perjudian, penipuan dan paksaan. Pada umumnya, apa yang diluluskan oleh agama dalam akad jual beli biasanya diluluskan oleh undang­undang negeri, sebaliknya, tidak semestinya apa yang diluluskan oleh undang­-undang negeri itu diluluskan oleh agama.


4.         PENSYARIATAN AKAD/ KONTRAK

Terdapat ayat-ayat al-Qur'an, al-Sunnah, ijmak dan rasional yang mengharuskan akad secara umum. Dalil al-Qur'an, diantaranya. Maksud firman Allah S.W.T:
Bermaksud: "Wahai orang yang beriman, sempurnakanlah semua penjanjian." (Surah al-Maidah, ayat 1)
Bermaksud:  "Tidaklah menjadi suatu kesalahan bagi kamu untuk mencari kurnia (rezeki hasil dari perniagaan) dari Tuhanmu." (Surah al-Baqarah, ayat 198) (Menurut al-Qurtubi, lafaz al-fadl bermaksud perniagaan)

Ayat-ayat tersebut menjadi prinsip asas supaya sesuatu kontrak itu mesti ditunaikan[6]. Muhammad Rashid Ridha dalam kitabnya Tafsir -Manar berkata: "Tiap-tiap perkataan atau perbuatan yang dianggap bagai kontrak adalah wajib dilaksanakan sebagaimana diperintahkan oleh Allah S.WT., selagi ia tidak mengandungi perkara yang menghalalkan yang haram dan sebaliknya mengharamkan yang halal[7]. Oleh itu kontrak yang wajib dilaksanakan dalam Islam hanya terbatas dalam lingkungan kontrak-kontrak yang baik dan diharuskan oleh Islam sahaja dan tidak pada kontrak-kontrak terhadap perkara-perkara yang dilarang oleh syarak. Oleh itu tidak wajib dilaksanakan kontrak yang dilakukan bagi maksud untuk membunuh, berzina, mencuri dan lain- lain lagi.

Dalil al-Sunnah, di antaranya: maksud sabda Rasulullullah s.a.w:
Bermaksud: "Nabi telah ditanya mengenai apakah pekerjaan yang paling baik untuk dilakukan? Jawab Baginda, pekerjaan seorang lelaki dengan usahanya sendiri dan setiap perniagaan yang bersih dari tipu daya[8]."
التاجر الأمين الصدوق مع النبيين والشهداء والصالحين
Bermaksud: "Peniaga yang jujur, yang amanah akan dihimpun pada hari qiamat bersama golongan para anbiya', syuhada' dan salihin[9]." (Ibn Majah t.t., ji1.2:724)

Berdasarkan ayat-ayat al-Qur'an dan al-Sunnah di atas menunjukkan Islam mengharuskan akad dalam perniagaan secara umum dalam batas tuntutan syarak yang menghindari unsur-unsur khianat dan penipuan. Selagi tidak ada unsur-unsur yang dilarang syarak maka setiap akad dalam perniagaan adalah diharuskan.
Dalil Ijmak. Para sahabat sepakat mengharuskan akad perniagaan. Ini kerana dengan akad dapat menyempurnakan hajat dan keperluan manusia melalui pertukaran harta secara sah dari segi syarak.
Secara rasional, akad juga turut mengakui bahawa tanpa perniagaan tidak akan dapat memenuhi hajat dan keperluan manusia dengan cara yang terbaik. Begitulah pentingnya akad dalam urusan hidup manusia.



5.         HIKMAH PENSYARIATANNYA
                Islam telah mengharuskan dan memperkenalkan berbagai-bagai kontrak  yang mana sebahagiannya telah dilaksanakan dalam perundangan hari ini dalam berbagai-bagai aspek semenjak dahulu lagi. Keunggulan kontrak Islam dapat dilihat dalam pelbagai sudut antaranya:
(a)          Kontrak dalam Islam adalah sebahagian daripada urusan hidup yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Ia mengikat orang yang berkontrak dengan suatu peraturan tertentu, sedangkan kontrak dalam perundangan moden hanya tunduk kepada keperluan-keperluan sesuatu masa sahaja.
(b)         Kontrak Islam juga menghubungkan antara manusia dengan Allah, oleh itu sesiapa yang membuat kontrak bermakna ia membuat perjanjian dengan Allah.
(c)          Sesuatu kontrak yang dilakukan adalah berdasarkan kepada sebab-sebab tertentu. Sebab yang memerlukan demikian ialah untuk mengelakkan sebarang pertengkaran atau perselisihan kerana merebut hak yang boleh mengancam peraturan urusan hidup yang ada.
(d)         Islam memberi kebebasan kepada syarat atau isi perjanjian yang ditandatangani asalkan ia dapat menghalang mana-mana pihak daripada menguasai pihak yang lain.


6.         SKOP AKAD/ KONTRAK

Akad menjadi asas kepada kegiatan muamalat. Skop perbahasannya begitu luas meliputi pelbagai bidang kegiatan hidup yang berkait dengan hak, harta, milik dalam pelbagai transaksi jualbeli, perniagaan dan perdagangan. Akad  dengan rukun dan syarat-syaratnya yang tersendiri, menentukan sesuatu kegiatan atau tindakan itu sah atau sebaliknya di sisi syarak. Keberkesanannya bergantung kepada syarat-syarat akad yang dimeterai oleh pelaku akad. Di antaranya syarat al-in'iqad - berlaku akad; syarat al-sighah - syarat sah; syarat al-nafaz - perlaksanaan akad; dan syarat al-luzum - syarat penguatkuasaan.
Akad dilihat dari aspek tertentu berbeza-beza bentuknya, berdasarkan kepada asas terbinanya akad tersebut, tujuannya, keistimewaan akad, sifat-sifatnya, hukum­-hakam dan perkara-perkara lain yang diambil kira oleh syarak (al-Zarqa', 1968:h1m. 568). Dr. Wahbah Zuhaili membahagikan akad kepada lima bentuk, iaitu;
(a)  pembahagian akad dari sudut sifatnya menurut syarak - ia terbahagi     
       kepada dua, iaitu akad sahih dan akad yang tidak sahih;
(b)  pembahagian akad dari segi ketentuan syarak - ia terbahagi kepada akad
       yang bernama clan akad yang tidak bernama (musamma dan ghair
       musamma);
(c)   pembahagian akad dari sudut matlamat dan tujuan akad - ia terbahagi
       kepada tujuh jenis iaitu al-tamlikat (pemilikan), al-isqatat (pengguguran   
       hak), al-itlaqaf (pemberian kuasa), al-taqyidat (jaminan), al-isytirak 
      (perkongsian kerja), al-tawthiqat (jaminan) dan akad aI-hifz - penjagaan;
(d)  pembahagian akad dari segi benda dan bukan benda - ia terbahagi
      kepada akad benda dan bukan benda/barang; (
(e) pembahagian dari sudut ada atau tiadanya hubungan kesan dengan akad
      - ia terbahagi kepada tiga, iaitu akad al-­munjiz, akad yang disandarkan
      pada masa depan, dan akad bersyarat. Huraiannya dijelaskan dalam 2.8.
Dengan konsep, falsafah dan skop akad yang begitu komprehensif, di samping kesepaduan ilmu, disiplin dan sumber perundangan yang syumul maka apa juga bentuk kegiatan muamalat semasa dapat ditangani dengan baik, sempurna dan wajar, bukan sahaja diperingkat reginal tetapi juga menjangkau ke peringkat global - antarabangsa dan terbukti kekebalannya dalam menangani kegawatan ekonomi dan, kewangan dunia yang melanda umat manusia sejagat tidak lama dahulu.       



7.         PEMBAHAGIAN AKAD

Pada umumnya dalam Islam kontrak-kontrak yang dilakukan boleh dibahagikan kepada dua kategori:

Pertama: kontrak yang semata-mata berhubung dengan hak sesama manusia. Kontrak ini merupakan kontrak yang boleh menerima pembatalan. Di bawah kategori ini, kontrak dapat dibahagikan pula kepada dua jenis seperti yang berikut:
(a)  Kontrak Penukaran ('Aqd al-Mu'awadah) adalah seperti kontrak jual beli, sewa-menyewa, upah, pinjaman dan lain-lain lagi. Dalam kontrak ini pihak-pihak yang mengikut kontrak saling mengharap untuk mendapat batasan terhadap apa yang diberinya. Misalnya A mengikat kontrak dengan B untuk menjual keretanya dengan harga RM20, 000.00 Daripada kontrak yang telah dibuat, berharap untuk mendapat kereta tersebut manakala A pula mengharapkan bayaran. Sekitanya salah satu pihak dalam kontrak itu gagal memenuhi harapan pihak lain maka kontrak itu adalah batal.
(b) Kontrak Sukarela ('Aqd al-Tabarra') adalah kontrak yang dibuat tanpa   mengharapkan sebarang balasan daripada pihak lain. la dibuat semata-mata dengan tujuan untuk menghampirkan diri dengan Allah s.w.t.. dan Allah sahajalah yang akan membalasnya di akhirat kelak, Kontrak-kontrak dalam jenis ini ialah kontrak hibah, wakaf, sedekah dan hadiah.

Kedua: kontrak yang melibatkan hak-hak Allah. Kontrak ini merupakan kontrak yang tidak boleh menerima pembatalan seperti: kontrak perkahwinan, talak, khulu', merdekakan hamba dan sumpah[10].

Akad atau kontrak berbeza-beza bentuknya berdasarkan kepada asas terbinanya akad tersebut, tujuan-tujuannya, keistimewaan, sifat-sifatnya, hukum­hakam dan perkara-perkara lain yang diambil kira oleh syarak. Dr. Wahbah al-Zuhaili (1989: 234-49) membahagikannya kepada lima bahagian.

7.1         Dari Segi Sifat Akad

Pembahagian akad dari sudut sifatnya menurut syarak ia terbahagi kepada dua iaitu akad sahih dan akad yang tidak sahih. Akad yang sahih (sah) iaitu akad yang sempurna atau lengkap unsur-unsur asasnya yang terdiri daripada sighah, pelaku akad, subjek akad, dan objektif akad serta sempurna syarat­-syaratnya mengikut syarak. Ulamak Hanafi mentakrifkan akad seperti ini sebagai akad yang disyariatkan pada asal dan sifat-sifatnya. Hukum akad yang sahih ahíla, sabit kesannya secara serta merta.
Akad yang tidak sah ialah akad yang cacat salah satu daripada unsur asasnya atau syarat-syaratnya. Hukum akad seperti ini ialah ia tidak melahirkan kesan, seperti penjualan bangkai, darah, arak, khinzir dan jualbeli fuduli. Jumhur fuqaha' (kecuali Hanafi) berpendapat, akad jenis ini (tidak sah) hukumnya adalah batal dan fasid (kedua-duanya membawa maksud yang sama). Hanafi membahagikan akad yang tidak sah kepada dua : akad yang batal dan akad yang fasid.
Akad yang batal ialah akad yang cacat salah satu daripadad rukunnya dan barang yang diakadkan atau akad yang tidak perundangkan sama sekali, sama ada dari segi asal atau sifatnya. Hukum akad seperti ini tidak dikira sah daripada asalnya lagi. Sementara akad fasid pula ialah akad yang diperundangkan pada prinsipnya tetapi tidak pada sifatnya, seperti jualbeli barang yang majhul (tidak diketahui) atau tidak ditentukan. Hukumnya ialah sabit milik sebaik sahaja diterima barang dengan izin dari pemilik secara jelas atau izin secara bersyarat, seperti pembeli menerimanya di majlis akad di hadapan penjual tanpa membuat bantahan. Akad yang fasid wajib dibatalkan mengikut syarak. Proses pembatalannya tertakluk kepada dua syarat iaitu barang yang diakadkan itu kekal seperti keadaannya sebelum diterima oleh pembeli. Kedua, tidak tertakluk hak orang lain dengannya.

7.2         Dari Sudut Musama Dan Ghayr Musamma

lanya terbahagi kepada dua iaitu akad yang bernama (musamma) dan akad tidak bernama (ghayr musamma). Pertama, ialah akad yang telah ditetapkan namanya oleh syarak dan dijelaskan hukum berkenaannya, seperti akad jualbeli, sewa, syarikat, jaminan, hibah, wakalah, gadaian, pinjaman, wasiat dan sebagainya. Sementara akad yang tidak bernama ialah akad yang tidak ditentukan namanya secara khusus oleh syarak. Syarak juga tidak menyamakan hukum-hukum yang tertentu berkenaannya, malahan ianya dibuat oleh manusia kerana keperluan mereka seperti yang berlaku dalam institusi kewangan Islam pada masa ini. Akad jenis ini terlalu banyak dan tidak terhingga berdasarkan keperluan manusia dan perkembangan masyarakat. Contohnya akad istisna, bay' al-wafa', bay' al-istijrar, al-tahkir dan sebagainya.

7.3       Dari Segi Matlamat Dan Tujuan Akad

Pembahagian akad di atas terbahagi kepada tujuh jenis, iaitu al-tamlikat, al-isqatat, al-itlaqat, al-taqyidat, al-tawthiqat, al-isytirak dan al-hifz.
AI-Tamlikaf (pemilikan). la merupakan akad yang dimaksudkan untuk pemilikan sesuatu sama ada berupa benda atau manfaat. Jika akad pemilikan ini dibuat dengan bayaran, maka ia dinamakan akad al-mu'awadat (pertukaran) seperti jualbeli, sewa, tukaran wang, al-sulh, bay' al-istisna', musaqat dan lain-lain jenis akad yang mempunyai pertukaran di antara dua pihak. Sekiranya ia dilakukan secara percuma tanpa bayaran atau gantian maka ia dinamakan akad tabarruat, seperti hibah, sadaqah, waqaf, pinjaman dan pemindahan tanggungjawab membayar hutang.
AI-Isqatat (menggugurkan suatu hak). la merupakan akad yang menggugurkan sesuatu hak, sama ada dengan bayaran atau tanpa bayaran. Jika dilakukan tanpa bayaran ia digugur secara mutlak, sebaliknya jika dilakukan dengan bayaran atau gantian maka ia dikenali pengguguran hak dengan gantian, manakala
Al-itlaqat ialah akad pemberian kuasa kepada seseorang lain untuk melakukan sesuatu kerja atau tindakan bagi pihaknya, seperti akad al-wakalah dan sebagainya.
AI-taqyidat pula ialah menahan seseorang daripada melakukan tindakan seperti memecat hakim, gabenor, pengawas waqaf, wasi dan sebagainya.
Selain di atas, jenis yang kelima ialah al-tawthiqat iaitu akad yang dilakukan betujuan untuk menjamin hutang bagi pemiliknya dan m enjamin hutang mendapat hutangnya, seperti kafalah, hiwalah dan al-rahn.
Sementara al-isytirak pula ialah akad yang ditujukan untuk perkongsian kerja dan pembahagian untung  seperti akad-akad syarikat dengan pelbagai jenisnya, al-mudarabah, al-muzaraah dan al-musaqah.
Dan jenis yang terakhir dalam pembahagian akad dari sudut matlamat dan tujuan akad ialah al-hifz. Ia merupakan akad penjagaan keselamatan harta untuk pemiliknya seperti penyimpanan dan beberapa akad wakalah yang tertentu seperti al-wadi'ah.

7.4       Dari Sudut Benda Dan Bukan Benda

la terbahagi kepada dua jenis: akad benda iaitu akad yang mesti diserahkan barang yang diakadkan dalam bentuk barangnya demi menyempurnakan pembentukan dan melahirkan kesan akad. la terbahagi kepada lima jenis, iaitu akad hibah, i'arah, wadiah, al-rahn dan al-qard. Manakala akad bukan benda pula berlaku semata-mata dengan lafaz yang tidak ada kecacatan. la melahirkan kesan tanpa perlu adanya penerimaan. Jenis ini tergolong kepada seluruh jenis akad, kecuali lima jenis dalam akad benda di atas.


7.5         Dari Segi Ada Dan Tiadanya Hubungan Kesan Dengan Akad.

Pembahagian terakhir terbahagi kepada tiga jenis, iaitu akad al-munjiz, akad yang disandarkan kepada masa depan dan akad bersyarat.
Akad al-munjiz ialah akad yang dibuat dengan lafaz yang tidak dikaitkan dengan sebarang syarat yang tidak disandarkan perlaksanaannya pada masa hadapan. Hukumnya, akad ini melahirkan kesan serta merta apabila ia mencukupi syarat dan rukunnya yang dikehendaki seperti yang terdapat dalam syarat-syarat akad.
Jenis yang kedua, akad yang disandarkan kepada masa hadapan iaitu akad yang dibuat dengan lafaz penerimaannya disandarkan pada masa yang akan datang. Contoh, A berkata kepada B, "aku sewakan kepada engkau rumah aku ini selama setahun, bermula dari awal bulan hadapan." Hukumnya adalah sah dan akad itu terbentuk dengan serta merta. Namun kesannya tidak wujud sehinggalah tiba pada masa yang telah ditetapkan.
Jenis yang terakhir ialah akad bersyarat. Akad ini ialah akad yang dibuat pada masa kewujudannya dan tertakluk kepada perkara yang lain. Lafaznya menggunakan salah satu daripada tanda-tanda syarat. Contohnya, A berkata kepada B, "jika saya keluar negara maka kamulah yang menjadi wakil kepada saya." Hukumnya akad ini tidak terbentuk melainkan adanya syarat yang digantungkan itu (keluar negara). Akad ini berbeza dari akad yang disandarkan kepada masa depan kerana akad tersebut terbentuk pada masa itu juga, sedangkan akad bersyarat hanya terbentuk setelah syarat tersebut itu wujud.


8.         KEFAHAMAN ASAS

Kefahaman dan kelangsungan kegiatan muamalat yang diasaskan atas teori akad memerlukan komitmen dan kuasa yang berkesan yang mengatur peraturan dan undang-undang, pengawasan dan perlaksanaan. Kesepaduan polisi dasar, kelancaran segala hukum dan peraturan pemerintah adalah bergantung kepada sejauh mana pihak yang berperanan atau yang berkuasa itu memahami konsep dan falsafah sesuatu idea atau gagasan. Jika kefahamannya itu jelas maka sikapnya juga akan menjadi jelas dan mantap dalam melaksanakan fungsi akad dalam muamalat.

8.1       Konsep dan Falsafah Akad/ Kontrak

Konsep ialah kerangka dasar suatu idea yang dibentuk melalui pengamatan, diambil dari nilai-nilai dan peraturan-peraturan tertentu. Falsafah pula merupakan pengetahuan terhadap pengertian suatu konsep atau realiti yang dikira sebagai ilmu yang memahami hakikat suatu perkara melalui jalan berfikir yang berpandu kepada suatu pegangan atau keyakinan tertentu. Dari pengertian di atas dapat diperhatikan bahawa konsep dan falsafah akad dalam muamalat itu lahir dari suatu sistem atau gagasan ilmu Allah yang tinggi sifatnya, yang disusun dan dicipta khusus untuk kepentingan manusia dalam memakmurkan alam supaya hasilnya dapat dimafaat dan dinikmati bersama secara adil, wajar dan saksama. Dalam pengertian yang lebih khusus bahawa konsep dan falsafah akad dalam muamalat mestilah menjamin supaya:
(a)       Setiap urusan itu hendaklah didasari dengan ikatan akad yang jelas di antara pihak yang terlibat, sama ada secara formal atau tidak, bertulis atau secara lisan dan akad itu hendaklah disaksikan.
(b)       Setiap akad yang dimeteraikan itu mestilah mendatangkan manfaat bersama atas dasar rela dan kepuasan, bukan tekanan dan penindasan.
(c)       Manfaat atau keuntungan yang diperolehi itu mestilah selari dengan
kehendak akidah, syariah, akhlak dan ruh perundangan Islam supaya boleh diterima sebagai ibadah sepertimana lain-lain ibadah dalam Islam.
(d)       Semua kaedah dan peraturan di atas dilakukan bertujuan untuk memastikan hak dan kepentingan anggota masyarakat itu terjamin dan terpelihara, tidak berlaku kekecohan dan perbalahan.


8.2       Fungsi Akad Dalam Muamalat
Dengan kefahaman asas di atas menjadikan fungsi akad dalam muamalat yang dimainkan oleh semua pihak akan lebih berkesan. Di antara fungsinya ialah:
(a)       Memastikan setiap urusan yang dilakukan itu mengikut hukum dan peraturan yang telah ditetapkan untuk menjadikannya sah dari segi syarak.
(b)       Mempelbagaikan cara mendapat rezeki dengan jalan yang terbaik dan menguntungkan semua pihak yang terlibat dalam akad.
(c)       Memastikan harta yang diperolehi itu suci dan bersih dari unsur­-unsur
            riba, tipu daya dan perjudian.
(d)       Menjamin setiap kegiatan itu dilakukan dengan jujur, amanah dan saling meredai melalui akad dan pengakuan, bukan khianat, penindasan dan penyelewengan.
Dengan fungsi di atas akan menyerlahkan kepentingan akad dalam kehidupan manusia supaya dunia dan isi kandungannya dapat diguna dan dimanfaatkan dengan cara yang sebaik-baiknya mengikut peraturan, disiplin dan hukum yang telah ditetapkan. Dunia dapat dihuni dengan selamat, selesa dan harmoni, saling menghormati dan bertanggungjawab. Semuanya itu dilakukan untuk mendapat rahmat, keberkatan dan keredaan Allah.

8.3       Prinsip-Prinsip Akad
Prinsip merupakan panduan asas dalam sesuatu kegiatan, sementara akad pula menjadi neraca dalam menentukan sesuatu urusan itu selari dengan tuntutan syarak atau sebaliknya dalam melakukan tindakan atau tasarruf. Prinsip-­prinsip akad, di antaranya:
(a)       Kerelaan
Pelaku akad, sama ada pihak penawar atau penerima mestilah ada kerelaan dalam setiap urusan yang dilakukan. Akad menjadi tidak sah sekiranya dibuat secara paksaan atau tidak memenuhi kehendak salah satu pihak yang berakad atau kedua-duanya sekali. Paksaan boleh menghilangkan kerelaan. Ia bermaksud memaksa orang lain melakukan suatu perkara yang tidak dipersetujui oleh orang berkenaan. Paksaan boleh berlaku secara sempurna atau tidak sempurna. Paksaan yang tidak memberi pilihan kepada yang dipaksa dikira sempurna, contoh, ancaman bunuh atau mencederakannya jika tidak bersetuju membeli barang jualannya dan yakin boleh melakukannya. Hukumnya ia boleh menghilangkan kerelaan dan merosakkan pilihan atau khiyar. Sementara paksaan tidak sempurna pula ialah ancaman yang tidak memberi mudarat kepada jiwa atau anggota. Hukumnya ialah ia juga boleh menghilangkan kerelaan, tetapi tidak merosakkan pilihan. Hilang kerelaan akan menjejaskan akad.

(b)       Kebebasan
Dalam melakukan urusan muamalat pihak pelaku akad diberi kebebasan memilih dan bertindak. Ini bermakna apabila terdapat kecacatan ke atas perkara yang diakadkan, aqidan (pelaku akad) boleh memilih untuk meneruskan akad atau membatalkannya. Prinsip ini penting untuk memberi kepuasan kepada aqidan dalam urusan akad yang dilakukan. Bagaimanapun, jika kecacatan yang wujud itu boleh diterima dan dirunding maka pelaku akad boleh meneruskannya, dan akad menjadi sah, berkuatkuasa dan berkesan, iaitu boleh berlaku pindah milik dan pemilikan itu menjadi sempurna.

(c)       Manfaat         
Perkara yang diakad, sama ada dalam bentuk barangan atau lainnya mestilah boleh memberi manfaat kepada pelaku akad. Ini bermakna sesuatu akad yang tidak boleh diambil manfaat ia tidak boleh dilakukan akad kerana dikira bukan harta, dan kesannya jika dilakukan juga, maka akad itu tidak sah, pelaku akad dalam hal ini mestilah bertanggungjawab memulangkan barang dan harga yang terlibat dalam akad kepada pihak yang berhak. Bagaimanapun, jika pelaku akad masing-masing rela dan mahu meneruskannya maka akad itu dikira sah dan berkuatkuasa, kecuali jika terdapat aib atau cacat yang memusnahkan nilai harta yang diakad. Asasnya, akad itu mestilah dalam keadaan memberi keuntungan kepada aqidan dan bukan sebaliknya memberi manfaat sebelah pihak sahaja.

(d) Keadilan
Adil dalam prinsip akad memberi makna melakukan sesuatu urusan dengan cara yang betul dan wajar, bukan penipuan dalam syarat-syarat yang dimeteraikan oleh pelaku akad. Ini bermakna ketelusan dalam akad amat diperlukan selain ikhlas, jujur dan amanah. Ketidaktelusan akan membawa gharar dan kesannya akan melahirkan rasa tidak puashati, marah, dendam dan permusuhan. Adil dalam urusan akad dan tindakan akan menjadikan sesuatu perkara itu mudah dikendalikan dan natijahnya semua pihak merasa puashati, rela dan saling mendapat manfaat bersama. Hajat dan keperluan manusia dapat dipenuhi dengan lebih berkesan melalui akad dan tindakan yang wajar sesuai dengan naluri fitrah manusia itu sendiri. Islam meletakkan pelaku akad yang adil, jujur dan amanah sama kedudukannya dengan para anbia, syuhada dan salihin di hari kiamat, dan Allah sentiasa menolong hambaNya selama mana hambanya itu menolong saudara-saudaranya yang lain.
Selain prinsp-prinsip yang di atas terdapat juga qawaid dan usul yang mendasari kegiatan muamalat. Kesemuanya digunapakai dalam menentukan sesuatu perkara yang berkaitan dengan hukum sama ada ianya dibolehkan, dilarang, digalakkan atau diharuskan. Dalam apa juga keadaan hendaklah dipastikan apakah suatu perkara itu termasuk dalam perkara yang disepakati atau dipertikai, usullfuru', qat'i  atau zanni.

8.4       Sifat-Sifat Pelaku Akad

Dalam melaksanakan akad, pelaku akad mestilah bersifat jujur, amanah dan bertanggungjawab. Ini berasaskan beberapa ayat al-Qur'an berikut. Maksud firman Allah:
Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad perjanjian." (al-Maidah, 5:1)

Bermaksud: "Dan penuhilah janji, kerana sesungguhnya janji itu pasti (akan) dipertanggungjawabkan." (al-Isra',)

Bermaksud: "Allah menyuruh menunaikan amanah kepada yang berhak (menerimanya)." (al-Nisa', 4:58)

Bermaksud:"Sesungguhnya beruntung (berjayalah) orang-orang yang beriman (diantaranya)...mereka yang memelihara segala amanat dan janjinya." (al-Mu'minun, 23:1-8)





8.5       Peranan Akidah Dalam Akad
Akidah mamainkan peranan penting dalam perlaksanaan akad, ini kerana ia mengikat ikatan dalaman supaya mereka yang terlibat dalam akad bersifat dengan sifat-sifat mahmudah serta terpuji seperti berlaku jujur, amanah dan bertanggungjawab dalam setiap perkara atau tindakan yang dilakukan. Selain daripada itu akidah juga turut sama dalam menguatkuasakan undang-undang, ini bermakna pihak yang terlibat dalam akad mestilah bertanggungjawab kepada pihak lain yang juga terlibat sama dalam akad, begitu juga halnya, mereka bertanggungjawab kepada Allah S.W.T, keadilan masyarakat dan kelancaran undang-undang.
Undang-undang ciptaan manusia biasanya disusun dan diatur hanya dilihat dari segi perjalanan kelancaran undang-undang sahaja, sedangkan dalam Islam meliputi kedua-duanya sekali, iaitu kelancaran undang-undang dan juga hubungannya dengan penciptanya  Allah Subhanahu wa Ta'ala. Mereka yang terikat dengan akad tahu tentang hak dan tanggungjawab, bukan sahaja terhadap diri dan orang lain yang terlibat dalam akad, tetapi yang lebih penting ialah Allah, kerana mereka tahu bahawa setiap urusan dan tindakan yang dilakukan itu akan dilihat oleh Allah dan pengawasan pihak berkuasa. Dengan keyakinan sedemikian akan melahirkan individu yang tahu berperanan dalam menjaga hubungan akad tanpa khuatir mengabaikan tanggungjawab. Di sinilah pentingnya peranan akidah dalam memastikan kelancaran undang-undang dan hubungannya dengan Penciptanya yang mengetahui secara pasti sifat semulajadi ciptaannya dari segi kekuatan dan kelemahannya.



9.         ASAS ASAS TEORI AKAD


Rukun dan syarat menjadi asas kepada teori akad. Rukun merupakan keperluan untuk membentuk akad, sementara syarat pula menjadi pelengkap kewujudan akad, kerana wujudnya sesuatu itu bergantung kepadanya. Kedua duanya (rukun dan syarat) menentukan pembentukan akad, sama ada sesuatu akad itu sah atau sebaliknya. Akad yang sah akan mendatangkan kesan iaitu berlaku pindah milik barangan dan harga kepada pihak-pihak yang berakad, sebaliknya akad yang tidak sah/ batal tidak mendatangkan sebarang kesan atau komitmen ke atas pelaku akad.

9.1       Kedudukan Rukun dan Syarat

Rukun akad terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu;
(a)                aqidan - pelaku akad atau dua pihak yang berakad;
(b)               ma'qud alayh - subjek akad iaitu perkara yang diakadkan;
(c)                sighah-ijab dan qabul atau tawaran dan terimaan.

Setiap rukun pula mempunyai syarat-syarat tertentu yang menjadi pelengkap kepada pembentukan akad. Dalam erti kata lain, kalau rukun itu merupakan sesuatu yang menentukan wujudnya sesuatu, umpamanya, kalau tiada sighah maka tiada akad, begitu juga syarat, wujudnya sesuatu itu bergantung kepadanya, umpamanya, keupayaan menyerah barang/ma'qud alayh menjadi syarat yang mesti ada dalam membentuk akad.
Akad menjadi sah setelah rukunnya dipenuhi. Terdapat dua pendapat mengenai rukun akad, iaitu:
(a) Jumhur fuqaha' berpendapat bahawa rukun akad terdiri dari tiga unsur:  
     pertama, sighah, iaitu ijab dan qabul, kedua, aqidan - pelaku akad iaitu penjual  
     dan pembeli dan ketiga, ma'qud alayh, perkara yang diakad/ barangan dan  
      harga.
(b) Ulama' Hanafi berpendapat bahawa rukun akad hanya satu - sighah, iaitu ijab
     dan qabul, ini kerana dengan adanya tawaran dan terimaan bermakna akan ada  
     bersamanya dua pihak yang berakad dan barang yang diakadkan.
Pakar perundangan konvensional juga membahagikan rukun kontrak kepada tiga, iaitu:     
(a)  kehendak dua pihak,
(b) barang yang dikontrak dan
(c)  sebab.
Bezanya dari segi sebab sahaja, lainnya adalah sama.

9.2       Sighah - Ijab Dan Qabul
Lafaz ijab dan qabul (sighah) adalah tindakan atau ucapan yang dilakukan oleh pihak yang berakad untuk menunjukkan kerelaannya melakukan akad. Lafaz atau ungkapan akad ini berbeza diantara satu akad dengan lainnya. Dalam akad, semua perkataan dan perbuatan yang menunjukkan adanya tawaran dan terimaan jika dalam amalan bahasa dan adat diterima, maka ianya boleh dipakai untuk melakukan akad, kecuali dalam akad-akad tertentu yang menggunakan lafaz yang khusus seperti dalam akad nikah yang mesti menggunakan perkataan atau lafaz ziwaj/ nikah (pernikahan).
Maksud ijab dalam akad ialah ungkapan/ lafaz tawaran awal yang dikeluarkan oleh aqidan (dua pihak yang berakad), sama ada dari penjual atau pembeli. Begitu juga qabul, ia merupakan lafaz terimaan yang dikeluarkan atau lahir daripada pemilik barang atau penerima. Manakala jumhur fuqaha', selain Hanafi, berpendapat, ijab atau tawaran itu mestilah datang daripada pemilik barang, sama ada tawaran itu datangnya terdahulu atau terkemudian.


Syarat[11] Ijab dan Qabul

Ahli Fiqh mensyaratkan tiga syarat dalam ijab dan qabul untuk pembentukan sesuatu kontrak iaitu:

i.              Jelas pendalilan ijab dan qabul, iaitu setiap ijab dan qabul yang dibuat mestilah mempunyai pendalilan yang jelas menunjukkan kehendak dua pihak yang berkontrak. Namun tidak disyaratkan lafaz khusus dibuat untuk menunjukkan kehendak tersebut.
ii.            Qabul dan ijab adalah selari(sesuai). Qabul perlu selaras dengan ijab dan qabul mesti mengikut ketentuan ijab sama pada setiap barang atau perkara yang dikontrakkan dan sama pada kadar pertukaran dalam kes kontrak pertukaran. Ia juga hendaklah sama  pada hakikat atau pada yang tersirat. Jika qabul tidak selari dengan ijab atau ijab tidak selari dengan qabul dan berlaku percanggahan di antara keduanya maka kontrak itu tidak sah.
iii.           Qabul bersambung dengan ijab, iaitu keduanya hendaklah dibuat dalam satu majlis jika kedua-dua pihak yang berkontrak itu hadir, atau dalam majlis di mana kedua pihak yang ghaib mengetahui tentang ijab. Iaitu kedua-duanya mengetahui apa yang lahir daripada pihak yang lain.

Daripada ketiga-tiga syarat tersebut perlu juga dibincangkan tentang majlis kontrak[12] (majlis al-Aqd). Untuk melaksanakan hubungan antara qabul dan ijab ini ada tiga syarat iaitu:
i.              Penerima dan penawar hendaklah berada dalam satu majlis.
Ijab dab qabul hendaklah dibuat dalam satu majlis, jika ia berpisah maka kontrak tersebut terbatal, namun begitu ulama` fiqh tidak bersependapat adakah ia disyaratkan serta merta, al-Ramli ulama` Mazhab Syafie mensyaratkan qabul dilakukan serta merta selepas ijab, jika diselangi oleh lafaz lain yang tidak berkaitan maka kontrak tersebut tidak sah. Golongan ulama` Syafie meringankan pendapat yang keras ini dengan prinsip khiyar selepas terbentuknya kontrak. Ulama lain daripada mazhab Syafie mentafsirkan perhubungan antara ijab dab qabul adalah mengikut uruf.
Dalam Mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali pula ia tidak mensyaratkan segera menerima, kerana penerimaan memerlukan masa untuk meneliti, apa yang penting adanya qabul dalam satu majlis biarpun waktu tersebut berpanjangan. Undang-undang Sivil mengambil pendapat ini dalam peruntukan 95/2, undang-undang ini tidak mensyaratkan penerimaan dengan segera.
Maksud bersatu majlis tidak bermakna kedua pihak yang berkontrak mesti berada pada satu tempat yang sama, malah kadang-kadang ia berlaku di dua tempat yang berbeza dan mereka dihubungkan dengan alat komunikasi seperti telefon atau surat menyurat, yang dimaksudkan dengan bersatu majlis ialah bersatu masa atau waktu di mana kedua-dua pihak berurusan membentuk kontrak, dalam urusan dengan menggunakan telefon majlis kontrak dianggap selesai apabila kedua pihak berpindah kepada percakapan lain. Adapun majlis kontrak dengan perutusan seseorang suruhan atau disampaikan cakap, kontrak  ialah majlis sampainya orang suruhan itu atau sampainya percakapan tersebut. Tulisan yang dikirimkan oleh seseorang yang ghaib dalam majlis adalah dikira sebagai hadir. Namun begitu orang yang menyuruh(mursil) atau penulis surat boleh menarik balik ijabnya di hadapan para saksi dengan syarat penarikan itu berlaku sebelum pihak satu lagi menerimanya atau sebelum orang suruhan itu atau surat itu sampai.
ii.            Tidak ada sesuatu yang menunjukkan keengganan daripada salah seorang daripada dua pihak yang berkontrak. Iaitu tidak ada percakapan lain yang  tidak berkaitan dengan kontrak tersebut yang boleh dikira sebagai bukti bahawa dia enggan berkontrak. Uruf atau kebiasaan yang diamalkan oleh orang ramai merupakan pegangan hukum dalam menentukan bersatunya atau berubahnya majlis.
iii.           Pihak yang membuat tawaran tidak menarik balik tawarannya sebelum penerima menerima tawaran. Untuk membentuk kontrak mestilah orang yang membuat tawaran berterusan menawar kepada penerima, jika ia menarik balik penawarannya maka penerimaannya tidak sah. Ini kerana tawaran boleh ditarik semula oleh pihak yang membuat tawaran sebelum lahirnya penerimaan oleh pihak yang lain.

Kontrak-kontrak yang tidak disyaratkan dalam satu majlis.

Bersatu majlis adalah menjadi syarat bagi semua jenis kontrak kecuali tiga iaitu: wasiat, isa`(wasiat penjagaan anak) dan wakalah.
Adapun wasiat tidak mungkin berlaku bersatu majlis, sebab penerimaan (qabul) tidak sah daripada orang yang menerima wasiat jika penerimaan itu dibuat dalam masa pembuat wasiat masih hidup.
Isa` pula tidak perlu dibuat penerimaan (qabul) ketika pembuat wasiat masih hidup, tetapi sah sesudah kematiannya. Walaubagaimanapun ia tidak menjadi wasiat kecuali sesudah mati pembuat wasiat, biarpun dia telah membuat penerimaan ketika pembuat wasiat itu masih hidup.
Manakala wakalah (menyerahkan tugas dan penjagaan kepada wakil semasa hidup) adalah berasaskan kepada kelapangan dan kemudahan, oleh itu kesatuan majlis tidak menjadi syarat kerana penerimanya kadang-kadang dibuat dengan lafaz dan kadang-kadang dengan perbuatan.

9.3         Aqidan - Pelaku Akad

Selain sighah, aqidan atau dua pihak yang berakad juga penting dalam teori akad. Syarat-syarat akad yang dimeterai oleh aqidan itu mestilah:
(a)       Aqidan mempunyai keahlian atau kelayakan melakukan akad
(b)       Perkara yang diakadkan itu boleh menerima kesan hukum akad, dan
(c)       Akad itu memberi   faedah. Faedah akad itu memberi erti diluluskan oleh syarak

(a)       Keahlian Pelaku Akad
Keahlian adalah kelayakan seseorang melakukan akad atau mendapat dan mengaturkan hak dan tindakan (fasarruf). Keahlian dibahagi kepada dua:
            -            keahlian wajib dan
-           keahlian bertindak.

Keahlian wajib (ahliah al-wujub) ialah kelayakan seseorang mendapat hak yang ditentukan oleh syarak, misalnya bayi dalam kandungan itu berhak menerima pusaka apabila ia dilahirkan.

Sementara keahlian bertindak (ahliah-ada`) pula ialah kelayakan seseorang mengeluarkan tindakan percakapan (al-tasarruf al­-qawliy) yang diakui syarak.

Dilihat dari segi kelayakan urusan akad dan tindakan seseorang, para fuqaha' dalam hal ini membahagikan keahlian kepada tiga kumpulan:
-          Sempurna keahlian,
-          kurang keahlian dan
-          hilang keahlian.
Sempurna Keahlian (Tam Ahliah)
Aqidan mestilah memenuhi syarat berikut iaitu,
(a)       Bebas dari sebarang ikatan (perhambaan, muflis, sekatan undang-undang),
(b)       Baligh, cukup umur- lelaki sekurang-kurangnya berumur 15 tahun dan perempuan 9 tahun atau telah period (datang haid),
(c)       Berakal (aqil), siuman, tidak gila atau mabuk

Ini bermakna segala perjanjian, apabila cukup rukun dan syarat­-syaratnya, dan dilakukan oleh orang yang sempurna keahliannya adalah dikira sah dan mempunyai kuatkuasa undang-undang- lulus (nafiz), meliputi semua jenis akad, tetapi tidak termasuk akad yang tidak dilulus oleh syarak, dan tindakan yang mungkin merugikan pihak aqidan.

Hilang Keahlian (Faqid Ahliah)
la terbahagi kepada dua kumpulan:
-          Kanak-kanak belum mumayyiz (ghair mumayyiz), dan
-          orang gila.
Kumpulan pertama dianggap masih belum mengerti benar-benar maksud akad, berumur bawah sembilan tahun bagi Shafi'ie, dan tujuh tahun bagi Hanafi. Sementara golongan kedua (orang gila), dianggap akalnya tidak siuman.
Sekiranya akad itu dibuat semasa ia berkeadaan gila maka akad dan tindakannya itu dikira batal, sekalipun ia sudah baligh dan berakal. Jika siumannya itu sekali-sekala maka segala akad dan tindakannya itu tergantung (mauquf):
(a) Kalau siumannya itu sempurna- ada masa tertentu dan jelas keadaan  
       siumannya maka akad dan tindakannya itu dikira sah, sebaliknya,
(b) Kalau siumannya itu tidak sempurna, iaitu tidak diketahui bila berlaku 
       dan tidak jelas masanya maka akad dan tindakannya itu dikira tidak sah.
Ini bermakna, kalau orang itu gila sepanjang masa adalah jelas akad dan tindakannya itu tidak sah, tetapi kalau gilanya itu datang sekali-sekala maka akad dan tindakannya itu adalah tergantung kepada keadaan orang berkenaan.

Kurang Keahlian (Naqis Ahliah)
la terdiri dari kanak-kanak mumayyiz dan telah sempurna umurnya sembilan tahun hingga 18 tahun mengikut Shafi'ie dan tujuh tahun hingga 15 tahun bagi Hanafi. Mumayyiz ialah kanak-kanak yang mengerti erti akad, dapat membezakan untung rugi, dan dapat memahami kesan dari akad tersebut.
Bagi golongan yang cacat pemikiran, pelupa atau dungu, akad dan tindakannya boleh dilakukan oleh wali/ penjaga atau wasi. Mereka juga boleh dikenakan sekatan tindakan perkataan, ini kerana tindakan itu boleh dibatalkan sesudah berlaku, umpamanya akad jual beli. Berbeza dengan tindakan perbuatan ia tidak boleh dikenakan sekatan, sebab sesuatu perbuatan yang dilakukan, umpamanya membunuh, sesudah berlaku ia tidak boleh disekat, bagaimanapun ia boleh dikenakan denda ke atas wali, wasi atau penjaganya.

Peringkat-peringkat kelayakan

Daripada keterangan di atas dapat disimpulkan kelayakan seseorang adalah bermula daripada awal kehidupannya dalam perut ibu sehingga sempurna kedewasaannya dan berjalan dalam lima peringkat iaitu peringkat janin, kanak-kanak, mumayyiz, baligh dan matang.

i.          Peringkat Janin
 Peringkat ini bermula daripada permulaan kandungan dan berakhir dengna kelahiran. Pada masa ini sabit keahlian keahlian wajib tidak sempurna.
i.                     Peringkat kanak-kanak
Peringkat ini bermula daripada waktu kelahiran sehingga kepada waktu mumayyiz iaitu berumur tujuh tahun. Pada masa ini sabit kelayakan wajib yang sempurna bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz
iii.        Peringkat mumayyiz
Ia bermula selepas berumur selepas umur tujuh tahun sehingga ia baligh berakal, mumayyiz  ialah peringkat di mana kanak-kanak sudah boleh membuat perbezaan di antara yang baik dan buruk dan di antara yang memberi faedah dan memudaratkan. Dan ia dapat memahami ungkapan-ungkapan ayat secara umum. Kanak-kanak mumayyiz mempunyai kelayakan menunaikan tugas yang tidak sempurna samada dalam perkara agama ataupun sivil.
iv.         Peringkat Baligh
Peringkat ini bermula daripada waktu baligh sehinggalah matang (rushd) ini berdasarkan kepada firman Allah dalam surah al-Nisa` ayat 6 yang

Bermaksud: Dan ujilah anak yatim itu sebelum baligh sehingga mereka cukup umur dewasa….
Oleh itu orang yang baligh dituntut mempunyai keahlian yang sempurna untuk menunaikan kewajipan agama.
v.          Peringkat matang (rushd)
Merupakan peringkat kelayakan paling sempurna, daripada sudut fiqh matang (rushd) ialah pandai mentadbir harta daripada sudut dunia walaupun ia fasiq pada pandangan agama.

Keredaan Aqidan
Keredaan ialah rasa senang dan puas hati dengan sesuatu urusan yang dilakukan. la menjadi syarat kepada kelulusan akad dan tindakan yang berkaitan dengan harta benda atau faedah dari harta benda tersebut. Tanpa keredaan, akad dan tindakannya itu dikira rosak atau fasad. Perkara yang menghilangkan keredaan ialah paksaan. Paksaan boleh ditentukan dengan empat syarat:
(a) Orang yang memaksa itu mampu melakukan apa yang dipaksanya
(b) Orang yang dipaksa percaya bahawa pemaksa akan melakukan paksaan,
(c) Orang yang dipaksa melakukan perbuatan itu di depan pemaksa, atau di
      depan naibnya, atau dia percaya pemaksa menghantar orang untuk 
      menyaksikan ke atas apa yang dipaksa atau melihat perlaksanaannya,
(d) Yang dipaksa enggan melakukan apa yang dipaksanya itu

Kesan paksaan pada akad dan tasarruf  tindakan boleh menyebabkan akad itu rosak/ fasad/ tidak sah, kecuali apabila orang yang dipaksa itu meluluskan akad jual beli itu sesudah hilang paksaannya. Berbeza keadaannya jika ma'qud alayh itu dari jenis barang yang dilarang seperti arak, walaupun dilulus oleh penjualnya ia tetap tidak sah.

Halangan Keahlian
Halangan-halangan itu mungkin berlaku sama ada halangan keahlian mendapat hak/ bertindak; atau halangan yang menghilangkan kedua-dua jenis keahlian (keahlian wajib atau keahlian bertindak); atau halangan yang menghilangkan salah satu jenis keahlian; atau mengubah hukum keahlian. Halangan-halangan yang dimaksudkan ialah, seperti mati kecil di bawah umur dewasa (mumayyiz), gila, cacat pemikiran, sakit mati (mard al-maut), dan menghilangkan diri.
Mati boleh menghilangkan kedua-dua jenis keahlian (wajib dan bertindak); mumayyiz dan gila - menghilangkan keahlian bertindak, seperti memberi hadiah, hibah;
Menghilangkan diri boleh menghilangkan hukum keahlian mendapat hak: orang lain tidak berhak mewarisi hartanya, dan dia juga tidak berhak mewarisi harta orang lain sebelum hakim membuat keputusan sama ada ia masih hidup atau mati.
Sakit mati juga boleh mengubah hukum bertindak kerana sakit sedemikian boleh menyebabkan sebahagian dari tindakan yang dilakukan semasa sakit itu tidak sah, umpamanya mewasiatkan lebih satu pertiga hartanya kepada selain warisnya. Selain di atas, mabuk, lupa, pelatah tidak boleh menghilangkan keahlian, kerana ia hanya menyebabkan lemah akal buat sementara waktu untuk berfikir bukannya menghilangkan akal. Oleh sebab itu keahliannya tetap kekal dengan kekalnya akal dapat berfungsi semula selepas siuman/ sembuh.

Asas Menilai Hilang Keahlian
Sesuatu keadaan yang mungkin dianggap sebagai halangan itu hendaklah:
(a)       Berkesan pada akal/ fikiran kerana ia merupakan pusat keahlian, atau
(b)       Berkesan kepada akal dan kewarasan, ini bermakna kalau dewasa tetapi ia belum dapat . menentukan kedewasaannya lagi maka dalam hal ini ia berkesan kepada keahlian bertindak
(c)       Besifat kekal istimrar. Lupa, tidur, pelatah, mabuk adalah terkeluar dari erti halangan kerana keadaan seperti itu hanya mencacatkan keahlian secara sementara sahaja.

9.4       Ma'qud 'Alayh - Subjek  Akad
Selain sighah dan pelaku akad, subjek akad atau perkara yang diakad juga merupakan rukun yang penting dalam akad, ia meliputi dua perkara iaitu barangan dan harga. Barangan itu berbeza-beza sifatnya mengikut jenis akad itu sendiri, sama ada dalam bentuk material seperti dalam akad jual beli, dalam bentuk manfaat seperti sewa menyewa atau dalam bentuk kerja seperti akad upah mengupah, wakalah, mudarabah dan sebagainya. Sementara harga pula adalah bergantung pada barang/perkara yang diakad dan nilainya mestilah dipersetujui bersama semasa pembentukan akad.
Ulamak meletakkan empat syarat sekurang-kurangnya untuk perkara atau barangan yang diakadkan. Di antaranya :
(a)       Barangan itu wujud ketika berlakunya akad. Barangan yang tidak wujud, tidak oleh dilakukan akad. Begitu juga barangan yang mungkin tidak wujud seperti buku sebelum dicetak, ini kerana kemungkinan buku itu tidak akan dicetak. Berurusan dengan barangan yang tidak wujud atau  mungkin tidak wujud adalah batal dalam jual beli, hibah atau gadaian, kecuali jualan salam, sewaan, tempahan kerana ia berdasarkan istihsan dengan mengambil kira keperluan manusia dan pengakuan syarak ' terhadap semua jenis perniagaan tersebut sedangkan subjek akad tidak wujud ketika berlakunya akad (al-zuhaili, 1989: 173). Imam Malik membenarkan barangan yang mungkin wujud selepas akad seperti membenarkan pajakan barangan yang tidak wujud ketika berlakunya akad. Hanafi pula tidak berpegang kepada syarat ini, cukup sekadar larangan ke atas jualan yang terdapat di dalamnya penipuan seperti yang ditegah oleh syarak (al-zuhaili, 1989: 174)
(b)       Barangan itu diketahui oleh kedua-dua pihak yang berakad. Ini bertujuan untuk menghindari dari berlakunya penipuan dan pemalsuan juga mengelak pertelingkahan jika ia melibatkan akad berbentuk pertukaran. Sekiranya barangan tersebut majhul - tidak diketahui dan tidak dapat dikenalpasti atau dijelaskan atau ditaksirkan atau timbul keraguan maka akad tersebut dikira tidak sah (Ali Khafif, 1997: 254). Jika suatu akad membawa kepada perbalahan maka ia dikira batal menurut jumhur ulama' dan rosak mengikut golongan Hanafiah, sama seperti perniagaan yang terdapat penipuan) (al-zuhaili, 1989: 179)
(c)       Barangan itu bernilai dari segi syarak. Ini kerana sesuatu yang tidak dikira sebagai harta menurut syarak tidak boleh diterima untuk dijadikan subjek akad, umpamanya arak. Selain bernilai harta itu mestilah sesuatu yang dimiliki penjual, maksudnya penjual itu mempunyai kuasa ke atas subjek akad. la tidak boleh menjual harta yang bukan miliknya dari segi syarak. Begitu juga harta awam yang dikawal oleh pihak pemerintah tidak boleh dijadikan subjek akad untuk diniagakan (Muhammad Yusof Musa, 1952: 310 & 311)
(d)       Barangan itu mampu diserahkan kepada pihak berkenaan pada waktu yang ditetapkan - ittifaq fuqaha'. Ini bertujuan untuk menghindari atau menjadi penyebab kepada berlakunya perbalahan. Umpamanya ikan di air, burung di udara juga tidak dapat dikuasai jika dilakukan juga akad jualan akan menyebabkan perbalahan. Bagaimanapun golongan Malikiah membolehkan akad barangan yang tidak mampu diserahkan ketika akad, iaitu dalam kes sumbangan atau pemberian dan yang seumpama dengannya (al-Zuhaili, 1989 : 178 & 179). Jumhur fuqaha' selain golongan Hanafiah meletakkan syarat kelima iaitu,
(e)       Barangan itu hendaklah suci, bukan barangan yang dianggap atau dikira najis atau tidak bertukar menjadi najis seperti bangkai, darah binatang ternakan yang mati dilanggar atau yang seumpamanya, termasuk anjing, tetapi mereka membenarkannya pada barang yang diperselisihkan dari segi kenajisannya seperti baghal, himar, kucing, burung perburuan atau burung yang diambil manfaat suaranya seperti burung  tiong dan kakak  tua. Sementara golongan Hanafiah tidak meletakkan syarat ini dan mereka membenarkan akad urusniaga beberapa barangan yang berunsur  najis seperti kulit bangkai yang boleh dimanfaatkan, melainkan sesuatu yang jelas ditegah syarak         (nass qat'i). Prinsip yang mereka pegang ialah setiap yang terdapat manfaat yang dibolehkan syarak maka jualannya dibolehkan kerana setiap benda itu diciptakan untuk manfaat manusia.

9.5       Pendapat Ittifaq dan Ikhtilaf
Kepelbagaian pendapat fuqaha' dalam menentukan rukun akad menjadikan perbincangan lebih terbuka dan tidak terikat kepada satu pendapat sahaja, lebih-lebih lagi dalam soal muamalat yang sebahagian besar perbincangannya berasaskan kaedah dan prinsip-prinsip, umpamanya asal suatu perkara dalam ibadah adalah ditegah, dan asal suatu perkara dalam muamalat adalah diharuskan. Begitu juga dalam soal akad dan syarat, kaedahnya ialah, "asal perkara dalam sesuatu akad dan syarat adalah sah (dibolehkan) sehinggalah ada ketentuan syarak yang membatal atau menegahnya".
Dalam keadaan yang lebih khusus lagi, " apa juga perkara yang belum atau tidak ditentukan kedudukan hukumnya dari segi syarak maka hendaklah dirujuk kepada uruf atau adat (setempat)"- (al- Suyuti, al-Ashbah, hlm 196). Kepelbagaian pendapat fuqaha', di samping wujudnya kaedah-kaedah tertentu dalam persoalan muamalat memudahkan seseorang mujtahid membuat penilaian dan keputusan yang mana satu ianya bersesuaian dengan kehendak dan tuntutan syarak. Dalam hal ini keputusan sesuatu pekara seharusnya dibuat berdasarkan keperluan dan keutamaan mana satu yang lebih bermanfaat dan menguntungkan ramai, dan dalam masa yang sama perlu juga dilihat kaedah-­kaedah lain yang ada kaitan dengan persoalan yang timbul supaya lebih jelas dan mantap dalam membuat sesuatu keputusan dan tindakan.

10.      KEBERKESANAN AKAD

Keberkesanan akad dalam muamalat adalah bergantung kepada syarat-syarat akad. Syarat ialah perkara yang dengannya adanya sesuatu, tetapi ianya bukan hakikat sesuatu, seperti bersuci itu adalah syarat untuk melakukan solat. Dalam akad, syarat-syaratnya terbahagi kepada empat, iaitu syarat jadi atau berlaku akad, syarat sah, syarat lulus atau perlaksanaan akad dan syarat luzum - penguatkuasaan akad.

10.1     Syarat Berlaku Akad (al-In'iqad)
la merupakan syarat pembentukan akad. Kewujudannya menjadikan akad itu terbentuk pada perundangan syarak. Jika tidak ada maka akad itu menjadi batal. Ia terbahagi kepada dua iaitu syarat umum in'iqad dan syarat khusus.
Syarat umum ialah s yarat-syarat yang wajib ada pada setiap akad. Ia adalah syarat-syarat yang dituntut dan mesti ada pada setiap sighah akad, pelaku akad dan pada subjek atau perkara yang diakad. Akad itu mestilah juga yang tidak bertentangan dengan syarak dan syarat itu juga hendaklah mendatangkan faedah. Mengupah seseorang melakukan maksiat atau membunuh merupakan contoh syarat yang bertentangan dengan syarak. Contoh tidak mendatangkan faedah seperti akad jualbeli arak, judi dan sesuatu yang terlalu kecil.
Syarat khas pula ialah syarat yang dikehendaki ada pada sesetengah akad tetapi tidak dikehendaki pada sesetengah akad lainnya, seperti mensyaratkan saksi dalam perkahwinan. Perkahwinan tidak terbentuk atau berlaku kecuali dengan kehadiran dua saksi. Contoh dalam urusniaga jualbeli ialah syarat penyerahan barang. Jadi akad tidak terbentuk atau tidak boleh berlaku kecuali dengan penyerahan barang yang diakadkan.

10.2     Syarat Sah
la merupakan syarat yang ditetapkan oleh syarak yang dengan kewujudannya akan berlakulah kesan-kesan daripada akad tersebut. Jika syarat itu tidak wujud maka akad tersebut itu menjadi fasid - rosak, tetapi tidak terbatal. Syarat sah kebiasaannya adalah khusus bagi setiap akad. Dalam urusan jualbeli umpamanya, golongan Hanafiah mensyaratkan jualbeli itu bersih daripada enam kecacatan iaitu kejahilan, paksaan, bertempoh, penipuan, dharar dan syarat yang fasid. Syarat sah biasanya terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu yang berkait dengan pelaku akad, akad dan subjek akad.
Syarat sah bagi pelaku akad hendaklah ada persetujuan atau kerelaan di antara mereka, bukan paksaan. Syarat sah bagi akad hendaklah akad itu tidak terikat dengan masa atau terikat dengan syarat-syarat yang merosakkan akad, terdapat faedah/manfaat dalam akad, dan tidak merosakkan akad pada masa-masa tertentu. Sementara syarat sighah yang berkait dengan subjek akad, di antaranya: subjek akad boleh diserah; diketahui barang dan harganya dengan jelas, kualitinya baik dan memuaskan.

10.3     Syarat al-Nafadh

Syarat lulus (nafaz) atau perlaksanaan bermaksud apabila syarat ini wujud maka akad itu akan terlaksana. Ketiadaannya, sesuatu akad itu tidak boleh dilaksanakan. Syarat nafaz terbahagi kepada dua iaitu al-milk dan al-wilayah. Syarat pertama (al-milk) ialah pemilikan sesuatu. Apabila seseorang itu memiliki sesuatu maka dia berkuasa untuk memanfaatkannya jika tidak ada halangan syarak. Ini bermakna pemilik itu mempunyai kebebasan mengguna dan bertindak ke atas faedah barang tersebut, kecuali jika terdapat halangan seperti gila, bodoh, kanak-­kanak atau tidak mumayyiz. Syarat kedua (al-wilayah) bermaksud ia mempunyai kuasa dari segi syarak. Kuasa itu membolehkannya melakukan akad. Kuasa ini terbahagi kepada dua iaitu wilayah asliah dan wilayah niyabiyyah. Kuasa gantian sama kedudukannya dengan kuasa asal (asliah). Kesan daripada syarat ini (al-milk dan al-wilayah) ialah barang yang diakad itu hendaklah dimiliki oleh orang yang berakad. Jika tidak dimiliki maka jualan itu dikira jualan fuduli, kelulusan akad itu bergantung kepada pemilik barang tersebut. Imam al-Shafi'e dan Imam Ahmad menganggap al-wilayah sebagai salah satu daripada syarat-syarat pembentukan akad (in'iqad). Oleh itu tindakan yang dilakukan oleh seorang fuduli adalah tidak sah.
Syarat kedua al-nafaz ialah barang yang diakadkan itu tidak melibatkan hak orang lain. Jika orang lain mempunyai hak ke atasnya maka akad itu mauquf - tergantung kepada kelulusan pemilik barang tersebut.

10.4     Syarat Luzum - Penguatkuasaan

Untuk menguatkuasakan sesuatu akad seperti jualbeli dan sewa, disyaratkan ia tidak mempunyai salah satu hak khiyar iaitu hak yang membolehkan salah seorang pelaku akad membatalkan akad, di mana hak khiyar itu sabit sama ada dengan syarat yang ditentukan sendiri oleh pihak yang berakad atau ditentukan oleh syarak seperti khiyar aib/cacat atau khiyar rukyah. Jika dalam akad berkenaan terdapat hak khiyar seperti khiyar rukyah maka akad itu terhalang dari berkuatkuasa bagi pihak yang mempunyai hak khiyar. Orang yang mempunyai hak khiyar itu boleh membatalkan akad itu ataupun boleh meneruskannya.
Dari penjelasan syarat-syarat akad di atas menunjukkan bahawa akad akan menjadi berkesan apabila syarat-syarat tersebut dipenuhi. Asasnya ialah apabila kurang satu syarat-syarat in'iqad maka akad itu dikira batal; jika kurang satu syarat dari s yarat-syarat sah maka akan jadi fasad, rosak atau cacat; jika kurang satu syarat dari syarat-syarat nafaz maka akad itu tertakluk kepada pengesahan pemilik subjek akad; dan jika kurang satu syarat dari syarat-syarat luzum maka akad itu lulus, tetapi tidak wajib dilaksanakan. Jika berlaku demikian dipulangkan semula barang tersebut.

11.      KESAKSIAN DALAM KONTRAK
Islam tidak mensyaratkan kerelaan dalam sesuatu kontrak itu diberi dalam bentuk tertentu sama ada dari segi pernyataan untuk mewujudkan kontrak atau lain-lain acara rasmi. lni adalah merupakan teori am dalam kontrak Islam. Penafian kepada perlunya pernyataan tertentu bagi membentuk sesuatu kontrak dapat dibuktikan dengan berdasarkan kepada perkara 3, Majalah al-Ahkam al-'Adliyyah yang menyebut: “Di dalam kontrak perhatian hanya diberi kepada niat dan makna tidak kepada perkataan atau ayat kontrak itu”.
            Walau bagaimanapun terdapat beberapa pengecualian daripada prinsip am tersebut iaitu sesetengah kontrak perlu kepada adanya pernyataan tertentu atau acara yang tertentu. Misalnya dalam kontrak wakaf, perkahwinan dan hibah. Perlunya pernyataan dan acara tersebut disebabkan pentingnya kontrak-kontrak tersebut. Dalam kontrak wakaf, untuk menjadikannya sebagai suatu kontrak yang sah disyaratkan supaya ia dilakukan dengan pernyataan tertentu. la juga disyaratkan supaya ada dua orang saksi[13].  Manakala dalam kontrak hibah terdapat sesetengah ahli perundangan Islam seperti Imam Ahmad, Malik, Abu Thaur dan Ahli Zahir mensyaratkan hibah yang dibuat ke atas perkara-perkara yang berbentuk sukatan atau timbangan supaya adanya pemilikan (qabadh), tanpa pemilikan tersebut, hibah itu tidak sah[14].
Konsep saksi dalam kontrak Islam telah diterangkan dalam beberapa potong ayat al-Qur'an dan hadith Rasulullah s.a.w. Ayat al-Qur'an dan hadith tersebut hanya menerangkan tentang kesaksian dalam dua jenis kontrak sahaja iaitu kontrak hutang dan kontrak perkahwinan.
Mengenai kontrak hutang, Allah S. WT. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 282.
Bermaksud:  "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu m.enjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu. maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar). Dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu. hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun daripada hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi surat itu). maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil (benar); .dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi leIaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki. maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi itu. Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi."                               

Mengenai perkahwinan, Rasulullah s.a. w. bersabda
Bermaksudnya:..Tidak berlaku perkahwinan kecuali dengan wali dan dua orang saksi yang adil."[15]

Ahli-ahli perundangan Islam berselisih pendapat mengenai hukum saksi dalam kontrak hutang dan lain-lain kontrak yang seumpamanya seperti dalam kontrak jual beli. sewa-menyewa dan lain-lain. Sebilangan ahli-ahli perundangan Islam berpendapat hukumnya adalah wajib[16]. Manakala golongan terbanyak ahli-ahli perundangan Islam berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat. lanya bertujuan bagi memelihara hak dan mencegah daripada berlakunya perbalahan dan juga sebagai peneguhan kepada perjanjian itu.[17]
Demikian juga dengan hukum saksi dalam kontrak perkahwinan. Ahli-ahli perundangan Islam berselisih pendapat mengenainya. Mengikut ahli perundangan dari golongan Syafii, Hanafi dan pendapat yang termasyhur dari Imam Ahmad, kewujudan saksi dalam perkahwinan merupakan syarat sah kepada kontrak perkahwinan itu[18] Tanpa saksi, kontrak tersebut dianggap batal atau mengikut pendapat golongan Hanafi dianggap fasid[19]. Pendapat mereka berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a. w.:
Bermaksud..Tidak berlaku perkahwinan kecuali dengan wali, saksi-saksi dan mas kahwin.[20]
Begitu juga dengan hadis yang lain yang bermaksud:
..Tidak berlaku perkahwinan kecuali dengan wali dan dua orang saksi yang adil."
Dalam riwayat yang lain, Imam Ahmad berpendapat saksi itu bukanlah merupakan syarat sah perkahwinan. Pendapat ini juga diterima oleh al-lmamiyyah, Abu Layla, Abu Bakar al-Asam, Abu Thaur dan seluruh ahli-ahli Zahir. Mereka berhujah berdasarkan ayat al-Qur'an dari Surah al-Nisa' 4:3
Bermaksud:"Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dan perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau. ..."                                              ()
dan ayat lain yang  dari surah al-Nur 24: 32
Bermaksud:  Dan kahwinlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan."      
Kedua-dua ayat di atas menceritakan berhubung dengan perkahwinan tetapi tidak mensyaratkan supaya adanya saksi. Sedangkan menurut Islam tidak sah dikaitkan sesuatu (saksi) kecuali dengan adanya nas atau dalil. Manakala hadith-hadith yang menunjukkan wajib adanya saksi dalam perkahwinan tidak boleh dikaitkan kepada al-Qur'an kerana hadith-hadith itu hanya merupakan “Khabar Ahad" sahaja[21].
Golongan Maliki mempunyai tiga pendapat mengenai saksi iaitu:
ii.         Saksi merupakan syarat sah kepada sesuatu kontrak perkahwinan dan tidak mesti ada pada masa kontrak itu dibuat tetapi  memadai jika saksi ada selepas sesuatu kontrak itu dilakukan dengan syarat belum melakukan persetubuhan.
iii.        Saksi itu menjadi syarat sah untuk melakukan persetubuhan.
iiii.       Saksi tidak perlu dalam melakukan kontrak tetapi memadai dengan membuat pengumuman memberitahu orang ramai dan pengumuman itu menjadi syarat sah perkahwinan[22].

11.1     Bilangan Saksi 
Dalam kontrak yang mengandungi dua orang saksi lelaki tidak timbul sebarang perselisihan pendapat di kalangan ahli perundangan Islam, sama ada dalam kontrak-kontrak berhubung dengan harta atau kontrak berhubung dengan perkahwinan, telah timbul perselisihan pendapat di kalangan ahli-ahli perundangan Islam, tetapi hal ini tidak berlaku dalam kontrak berhubung dengan harta kerana dalam kontrak ini jelas dinyatakan oleh ayat-ayat al-Qur'an mengenai pengharusan saksi yang sedemikian[23].
Ahli-ahli perundangan dari golongan Maliki, Syafi'i dan Hanbali menganggap tidak sah sesuatu perkahwinan dengan disaksikan seorang lelaki dan dua orang perempuan. Anggaran mereka berdasarkan kepada hadith yang bermaksud:
"Tidak berlaku perkahwinan kecuali dengan wali dan dua orang saksi yang adil."

Seterusnya mereka berhujah dengan mengatakan bahawa tujuan saksi adalah untuk memuliakan kontrak tersebut. Oleh itu ia tidak boleh dilakukan kecuali oleh orang lelaki kerana telah menjadi adat Islam orang .lelaki yang menghadiri majlis perkahwinan, sedangkan perempuan tidak, Manakala ahli-ahli perundangan dari golongan Hanafi menganggap saksi seperti itu adalah sah. Anggapan golongan Hanafi berdasarkan kepada ayat al-Qur.an yang bermaksud:
..Maka hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki. maka bolehlah. seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi.                                                           (Surah al-Baqarah 2:282)
Sekalipun ayat ini diturunkan berhubung dengan kontrak harta tetapi ianya boleh diqiyaskan dengan kontrak perkahwinan kerana kedua-duanya memerlukan pengukuhan.
11.2     Syarat-syarat Saksi
Syarat yang melayakkan seseorang itu menjadi saksi adalah seperti berikut:
i.                     Baligh atau dewasa. Tidak sah saksi seorang kanak-kanak.
ii.                   Berakal. Tidak sah saksi seorang gila, mabuk atau pitam.
iii.                 Islam. Jika kontrak itu berlaku antara seseorang Islam dengan seorang yang lain. Maka seorang kafir tidak boleh menjadi saksinya. Ini disebabkan Islam tidak memberi hak kepada orang kafir untuk mengawal orang-orang Islam. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang.;orang yang beriman...                                                       (Surah al-Nisa' 4: 141)
Apabila seorang Islam berkahwin dengan seorang kafir Kitabiyyah timbul perselisihan pendapat mengenai saksi dalam kontrak perkahwinan itu. Abu Hanifah dan Abu Yussuf menganggap bahawa saksi dalam kontrak tersebut tidak mesti oleh orang-orang Islam malah sah kontrak perkahwinan tersebut sekiranya disaksikan oleh ahli-ahli kitab sama ada ahli kitab itu daripada kalangan Yahudi atau Nasrani. Manakala Imam Muhammad dan segolongan Hanafi serta lain-lain golongan ahli perundangan menganggap bahawa tidak sah sesuatu kontrak perkahwinan sekiranya terdiri dari ahli kitab.
iv.        Merdeka. Tidak sah saksi seorang hamba. Ini merupakan pendapat golongan Hanafi dan Syafii[24]. Tetapi mengikut Imam Ahmad saksi seorang hamba diharuskan kerana tidak ada nas yang jelas melarang berhubung dengannya. Pendapat ini juga berdasarkan kepada suatu riwayat daripada Anas yang bermaksud:
.'Saksi hamba adalah diharuskan sekiranya ia seorang yang adil."
v.         Saksi itu mestilah mendengar pengucapan yang dilafazkan oleh dua pihak yang mengikat kontrak. Ini bermaksud saksi itu tidak boleh tertidur, mabuk atau pekak.
vi.        Adil. Syarat adil ini hanya diterima oleh tiga golongan ahli perundangan sahaja iaitu Syafi.i, Maliki dan Ahmad[25]. Mereka berhujah dengan hadith yang bermaksud:
"Tidak berlaku perkahwinan kecuali dengan wali dan dua orang saksi yang adil."[26]
Hadith di atas menunjukkan bahawa saksi itu mestilah seorang yang adil. jika fasiq, maka apa yang disaksinya itu adalah batal. Ini disebabkan tujuan saksi itu adalah untuk memuliakan majlis sedangkan seorang saksi yang fasiq adalah dianggap hina. Oleh itu tujuan yang sebenarnya tidak akan tercapai.
Dr. Mohammad Yusuf Musa berkata, firman Allah s.w.t yang maksudnya:
"Maka hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui."                                                                (Surah al-Baqarah 2:282)
dan firman-Nya lagi yang bermaksud"Dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu meruju'kan); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata." (Surah at-Talaq 65:2)

Ayat di atas menegaskan bahawa disyaratkan orang yang menjadi saksi ialah orang yang dapat diterima tentang dirinya dan amanahnya. Maksudnya beliau mestilah adil, dipercayai; bercakap benar dan tidak mengikut hawa nafsu[27].
Golongan Hanafi pula berpendapat bahawa seorang saksi itu tidak semestinya seorang yang adil bahkan sah saksi seorang yang fasiq. Alasan mereka ialah seorang yang fasiq boleh melakukan kontrak untuk dirinya sendiri dan mewakili orang lain. Oleh itu ia juga layak menjadi saksi kerana dalam kontrak ada penwaran dan penerimaan yang menjadi rukun kepada kontrak, sedangkan saksi hanya merupakan syarat dalam sesuatu kontrak itu. Jika seorang yang fasiq boleh melakukan rukun, maka dengan sendirinya lebih utama lagi ia boleh melakukan syarat.

 

11.3     Masa Kesaksian

Terdapat perselisihan pendapat di kalangan ahli-ahli perundangan Islam berhubung dengan masa kesaksian itu. Ramai di kalangan ahli- ahli perundangan Islam yang terdiri daripada golongan Syafi'i, Hanafi dan Hanbali berpendapat bahawa kesaksian itu hanya boleh dibuat pada masa kontrak itu dilakukan sahaja, tidak sebelum atau selepasnya.
Berbeza dengan golongan Maliki yang berpendapat bahawa kesaksian itu tidak semestinya berlaku semasa kontrak itu dibuat tetapi boleh pada bila-bila masa sekalipun dilakukan semasa persetubuhan bagi kontrak perkahwinan.


12.      PENAMATAN KONTRAK


Kontrak tamat sama ada dengan cara pembatalan atau dengan kematian ataupun dengan tidak meluluskan kontrak yang tergantung. Penamatan kontrak dengan cara pembatalan mempunyai beberapa keadaan. Manakala kematian menyebabkan beberapa jenis kontrak tamat.


12.1     Penamatan Kontrak Melalui Pembatalan

Penamatan kontrak boleh berlaku dengan mengangkatnya daripada asalnya seperti dalam kes-kes khiyar iaitu menghapuskannya, kadang-kadang-kadang dengan meletakkan masa tamatnya dinisbahkan bagi masa akan datang seperti dalam kontrak pinjam dan sewa.

Pembatalan bagi kontrak-kontrak yang tidak berkuatkuasa adalah jelas. Ia ditetapkan oleh tabi`i kontrak itu sendiri, sama ada dalam kontrak-kontrak yang tidak berkuatkuasa daripada kedua-dua pihak seperti kontrak menyimpan barang, kontrak pinjaman barang, kontrak syarikat dan kontrak wakalah, di mana kedua-dua pihak boleh membatalkannya bila-bila masa dan selama mana, kes wakalah tidak melibatkan hak orang lain, ataupun dalam kontrak-kontrak yang berkuatkuasa bagi satu pihak dan tidak berkuatkuasa pada pihak lain seperti kontrak gadaian dan jaminan. Dalam kontrak gadaian pemegang gadai boleh membatalkan gadaian tanpa persetujuan orang yang menggadai, dan dalam kontrak jaminan sipiutang(orang yang dijamin untuknya) boleh membatalkan kontrak jaminan tanpa persetujuan orang yang berhutang.
Pembatalan kontrak-kontrak yang berkuatkuasa ada beberapa keadaan iaitu:

i.          Pembatalan dengan sebab rosaknya kontrak (fasid)
Jika kontrak menjadi rosak seperti menjual sesuatu yang tidak diketahui atau jualan yang terikat dengan tempoh, maka wajib dibatalkan sama ada ia dilakukan oleh kedua pihak yang berkontrak atau dibuat oleh qadi(hakim) kecualilah sekiranya terdapat halangan yang menghalang pembatalan itu seperti pembeli telah menjual atau memberikan barang itu kepada orang lain, dalam kes seperti ini pembeli mesti membayar harga barang yang dijual itu dengan harga pada hari ia menerima barang, bukan harga yang yang dipersetujui.

ii.         Pembatalan dengan sebab khiyar
Pihak pemilik khiyar dalam khiyar syarat[28] atau khiyar aib[29] atau khiyar ru`yah[30] atau sebagainya yang boleh membatalkan kontrak semata-mata dengan kehendaknya. Tetapi dalam khiyar aib selepas penerimaan barang pada sisi ulama` Hanafi tidak boleh difasakhkan lagi kecuali dengan persetujuan kedua-dua pihak atau dengan keputusan hakim.

iii.        Penarikan Balik Tawaran
Penarikan balik tawaran merupakan pembatalan kontrak dengan persetujuan kedua-dua belah pihak apa bila salah satu pihak menyesal dan ingin menarik balik kontrak, ia adalah sunat kerana Rasulullah s.a..w bersabda:

من أقال نادما بيعته أقال الله عثرته يوم القيامة

Bermaksud: sesiapa yang menarik balik tawaran jualan kerana menyesal maka Allah menarik kehinaannya pada hari akhirat.

iv.         Kerana tidak melaksanakannya
Pembatalan boleh dibuat kerana pihak satu lagi tidak melaksanakan kewajipannya dalam kes khiyar al-Naqd[31]. Pembatalan harus juga dilakukan setelah mendapati mustahil dapat dilaksanakan kerana ditimpa bencana alam. Ianya boleh berlaku dalam kes jual beli apabila barang yang dijual musnah sebelum diserahkan kepada pembeli iaitu sebelum pembeli menerimanya. Dalam kes sewa apabila berlaku keuzuran yang tiba-tiba daripada pihak orang yang memberi sewa atau orang yang menyewa atau ke atas barang yang disewa seperti orang yang memberi sewa tiba-tiba menanggung hutang yang tidak mungkin dapat dibayar kecuali menjual barang yang disewa dan diambil harganya untuk dibayar hutang tersebut. Atau orang yang menyewa diistiharkan muflis atau sebagainya.

v.          Akibat penamatan tempoh kontrak atau tercapai maksudnya
Dengan tamatnya tempoh kontrak atau tercapainya tujuannya maka kontrak itu terbatal dengan sendirinya, kedudukannya samalah seperti tamatnya tempoh kontrak sewa, jelasnya hutang atau wakil telah melaksanakan tugas bagi pihak yang mewakilkannya.

12.2     Penamatan Kontrak Dengan Sebab Kematian

Beberapa kumpulan kontrak menjadi tamat dengan sebab kematian salah satu pihak yang berkontrak antaranya ialah:

i.          Kontrak Sewa
Menurut andangan ulama` Hanafi kontrak ini tamat dengan kematian salah satu pihak yang berkontrak biarpun ia kontrak yang berkuatkuasa daripada kedua pihak yang berkontrak. Ini bermaksud kontrak akan terbatal dengan sendirinya dengan sebab kematian. Ulama  selain mazhab Hanafi pula berpendapat sewa tidak tamat atau terbatal kerana kematian salah satu pihak yang berkontrak.

ii.         Gadaian dan jaminan
Gadaian dan jaminan ini terdiri daripada kontrak yang berkuatkuasa daripada salah satu pihak iaitu dalam kes gadaian si piutang(pemberi hutang) yang memegang gadaian dalam kes jaminan orang yang dijamin untuknya(sipiutang) Apabila penggadai mati maka barang gadaian itu dijual, melalui perantaraan wasinya dan dijelaskan hutangnya. Ini sekiranya pewaris masih kecil, jika pewaris sudah dewasa maka mereka mengganti simati tentang hartanya, mereka berhak mebebaskan gadaian dengan cara membayar hutang tersebut.
            Adapun tentang jaminan sekiranya jaminan tersebut ialah hutang maka ia tidak tamat dengan kematian penghutang asal. Kontrak jaminan hutang tamat disebabkan dua perkara iaitu menjelaskan hutang kepada pemberi hutang atau melupuskan hutang tersebut. Jika penjamin yang berhutang mati maka hutang itu dijelaskan daripada harta peninggalannya. Sekiranya jaminan tersebut ialah jaminan diri maka kontrak jaminan tamat dengan kematian orang yang dijamin dan penjamin kerana kematian itu menyebabkan perkara yang dijamin tidak dapat didatangkan.
iii.        Syarikat dan perwakilan
Kedua-duanya termasuk dalam kontrak yang tidak berkuatkuasa daripada kedua belah pihak dan kontrak ini akan tamat dengan kematian. Contoh syarikat terfasakh dengan kematian salah seorang daripada kedua pihak yang bersyarikat tidak kira sama ada yang satu lagi mengetahui tentang kematian atau tidak.
Perwakilan atau wakalah juga terfasakh dengan kematian wakil atau pemberi wakil tidak kira sama ada pihak yang satu lagi mengetahui ataupun tidak.

iv.         Muzaraah dan Musaqah
Kedua-dua kontrak ini tidak berkuatkuasa daripada dua pihak. Abu Hanifah tidak mengharuskan kedua-duanya, manakala golongan ulama` al-Syafi`I mengharuskan musaqah, hukum muzaraah menurutnya mengikut mengikut musaqat tersebut. Golongan ulama` Maliki mengharuskan kedua-duanya dengan beberapa syarat, antaranya ialah keuntungan dibahagi sama di antara pemilik dan pekerja.

Golongan ulama` Hambali juga mengharuskannya. Berdasarkan pendapat ini kontrak muzaraah dan musaqah terbatal dengan berlakunya kematian salah seorang yang berkontrak, samada kematian tersebut berlaku sebelum perkejaan(menyiram dan menanam) atau selepas berlaku pekerjaan tersebut, begitu juga samada tanaman atau buah telah hampir dipetik ataupun berputik. Tetapi jika tuan tanah meninggal sebelum tanaman dapat dijual maka tanah itu hendaklah dibiarkan berada ditangan orang yang menanam sehinggalah masa menuai. Ini adalah untuk menjaga kepentingan kedua belah pihak. Jika pekerja meninggal dunia para warisnya hendaklah meneruskan kerja sehingga ke musim menuai.


12.3     Penamatan Kontrak kerana tidak diberi kelulusan kepada kontrak yang tergantung
Sesuatu kontrak yang tergantung menjadi tamat tempohnya apabila tidak diluluskan oleh pemiliknya seperti kontrak fuduli[32] Oleh itu kontrak akan tamat sebelum diberi kelulusan dan orang yang melakukan kontrak fudulli itu sendiri boleh membatalkan kontrak sebelum diberi kelulusan bagi mengelak tanggungan yang dibuatnya sendiri.


13.      KESIMPULAN

Akad/ kontrak memainkan peranan penting dalam transaksi muamalat. Keberkesanannya bergantung kepada rukun dan syarat-syaratnya yang tersendiri. Dalam apa juga keadaan pelaku akad juga tidak kurang berperanan untuk menjadikan setiap urusan dan tindakan yang dilakukan itu berkesan dan dengannya akan berlaku pindah milik dan menjadi milik yang sempurna. Akad menjadi neraca kepada pemilikan ke atas subjek akad, kegagalannya akan menjadikan transaksi itu fasid atau batal. Jika hal ini berlaku ia akan menjejaskan hubungan individu dalam masyarakat, negara dan hubungan antarabangsa.




[1] 1 Antara mazhab terbesar yang mempunyai ramai pendukungnya ialah mazhab- mazhab Syafi.i, Hanafi, Maliki dan Hanbali.

[2] Antara buku karangan mereka yang termasyhur dalam menyusun teori kontrak secara umum ini adalah seperti berikut: Dr. Mohamrnad Salam Madkur dengan bukunya al-Madkhal al-Fiqh al-Islami: Dr. Moharnad Yusuf Musa. al-Amwal wa Nazariyyah al-Aqd fi al-Fiqh al-Islami; Dr. Hassan Subhi. al-Madkhal ila al-Fiqh wa Ba`dhu al-Nazariyyat al-Ammah; Subhi Mahmasani. al-Nazariyyah al "Amah li al-Mujibat wa al-`Auqud fi al-syariah dan al-Mabadi' al-syar`iyyah wa al-Qanuniyyah fi al-Hajri wa al-Nafaqati wa al-Mawaris wa al-Wasiyah; Dr. Abdul Razak Sanhuri Pasha, Masadir al-Haq; Mustafa Ahmad Zarqa., al-Madhhal al-Fiqh al-`Amah; Badran Abu al-'Ainain Badran, ash-syari.ah al-Islamiyyah.

[3]  Negeri-negeri itu ialah: Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak.

[4] Prof. Ahmad lbrahim, The Civil Law Ordinance (1971) 2 MLJ, hIm. .VIII dan Joseph Chia: Reception of English Law Under Sections 3 and of the Civil Law Act, 1956(Revised 1972), JMCL Jil. l, hlm. 42-47.

[5] 10 Wu Min Aun, 1975 An Introduction to the Malaysian Legal System, (Kuala Lumpur, Singapore, Hong Kong: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd., hlm. 22.

[6] M.S. Abdel Hamid dan Abdel Khalek Omar, 1975. The Sanctity of the Contract in Egyptian I.aw, dlm. Contractual Remedies in Asian Countries, (Peny.) Joseph Mattur; Oceana Publications Inc., hlm. 7.
[7] Muhammad Rashid Ridha: Tafsir al-Manar, Cetakan Keempat; Jil. 6 (Matbarah 18 al-Qahirah).
[8]Ibn Hajar al-Asqalani 1989, hlm. 199
[9] Ibn Majah t.t., ji1.2:724
[10] Subhi Mahmasani: al-Nazaliyyah al-.Ammah li al-Mujibat wa al-'Uqud fi as-Syari.ah al-Islamiyyah, Jil. 2, hIm. 198.

[11] Syarat ialah barang  yang di mana kewujudan sesuatu bergantung kepadanya.
[12] Iaitu keadaan di mana kedua-dua pihak yang berkontrak membuat kontrak.
[13] Subhi Mahmasani. An-Nazariyyah al- 'Ammah li al-Mujibat wa al-'Uqud fi al-Fiqh al-Islami. Jil. 2. hlm. 33

[14] Syed Sabiq: Fiqh as-Sunnah. Jil. 3. hlm. 542.

[15] AI-Bayhaqi: Sunan al-Kubra. Jil. 7. Hlm. 125.

[16] Antara ahli-ahli perundangan Islam yang berpendapat demikian ialah An-Naq.i. `Ata’. Abu Ja'afar at-Tabari dan lain-lain lagi.
[17] Dr. Ahmad ar-Ribasi, Yas alunaka fi ad-Din wa al-Hayat. Hlm. 291.

[18] Dr. Mohammad Zakaria al-Bardisi, AI-Ahham al-lslamiyyah fi al-Ahwal ash- Shahhsiyyah. Him. 74.

[19] Mengikut golongan Syafi.i dan Ahmad, fasiq dan batal adalah sama sahaja, tetapi golongan Hanafi membuat pembezaan antara keduanya. Bagi mereka. fasiq meninggalkan kesan kepada kontrak sedangkan batal tidak meninggalkan apa-apa kesan langsung.

[20] AI-Bayhaqi: Sunan al-Kubra. Jil. 7. hlm. 56.

[21] Zakiyuddin Sha'ban: al-Ahkam al-Shariyyah li al-Ahwal ash-Shahhsiyyah, hIm. 112. Al-Tarmizi berkata: «berhubung dengan hal ini ahli-ahli perundangan Islam yang terdiri daripada sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w., goIongan selepas al-tabi'in dan lain-lain berpendapat tidak sah perkahwinan kecuali dengan saksi. Tidak timbuI sebarang perselisihan berkenaan dengannya kecuali di kalangan ahli-ahli perundangan yang terkemudian daripadanya. Ahli-ahli perundangan Kufah tidak mengharuskan perkahwinan kecuali disaksikan oleh dua orang saksi ketika kontrak sesuatu perkahwinan itu dilakukan. Ahli-ahli perundangan Madinah pula berpendapat apabila pengumuman perkahwinan dibuat maka harus disaksikan oleh dua orang saksi secara berasingan. Pendapat ini diterima oleh Imam Malik bin Anas dan lain-Iain. Sesetengah ahli perundangan berpendapat harus perkahwinan disaksikan oleh seorang Ielaki dan dua orang perempuan. Antara mereka ialah Imam Ahmad dan Ishak", Al-Shaukani: Kitab as-Sayl al-Jjirar, JiI. 2, hIm. 271.
[22] Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri lidak dapat merencanakan (isi surat itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil (benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada, saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempun dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi. (AI-Qur'an -Surah Baqarah 2:282)

[23] Al-Bayhaqi: Sunan aI-Kubra. Jil. 7, hlm. l25.
[24] "Kalau sesuatu perkahwinan itu disaksikan oleh orang-orang yang tidak sah menjadi saksi sekalipun jumlahnya lebih ramai dari orang Islam yang merdeka; atau disaksikan oleh seorang hamba Islam; atau ahli zimmah maka perkahwinan itu tidak sah." Ash-Syafi'i: al-Um. Jil. 5, hIm. 5.

[25] "Adil adalah meninggalkan segala dosa besar dan maksiat yang mencatatkan keadilan itu, sekalipun ianya suatu yang kecil dan jarang-jarang sekali dilakukan.. Sheikh Ali al-Nur. Al-Sati` fi al-Fiqh an-Nafi. Jil. 2, hIm. 255.

[26] AI-Bayhaqi: Sunan al-Kubra. Jil. 7, hIm. 125.

[27] Dr. Mohammad Yusuf Musa,Tarikh al-Fiqh al-Islami. Jil. 3. hIm. 125.
[28] Iaitu salah seorang pihak yang berkontrak mensyaratkan  bahawa ia mempunyai hak untuk membatalkan kontrak untuk tempoh tertentu.
[29] Timbulnya kecacatan lama pada barang yang dikontrakkan dan kecacatan tersebut boleh mengurangkan harga dan ianya tidak disedari oleh pembeli ketika berlaku kontrak pembelian.
[30] Iaitu kontrak pembelian yang berlaku tanpa melihat barang terlebih dahulu, apabila barang tersebut dilihat maka ia berhak samada hendak meneruskan kontrak atau menbatalkannya.
[31] Khiyar membatalkan kontrak
[32] Iaitu seorang yang bertindak atau mengurus urusan orang lain tanpa diberi kuasa kepadanya untuk berbuat demikian.
Read more »